Laporan/ foto: Sharifah Ithnin/ FB Sulaiman Md. Ali (Alor Gajah)
MELAKA, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri tentang Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19, Kerajaan Negeri Melaka juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama membantu meringankan beban rakyat di negeri ini.
Menurut Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md. Ali, insentif berkenaan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM13.02 juta termasuk enam insentif khas Kerajaan Negeri Melaka di bawah peruntukan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang memperuntukkan bantuan kepada penerima asnaf, fakir, miskin dan mualaf.
Pakej insentif dan bantuan khas Kerajaan Negeri Melaka ini termasuklah peruntukan kepada petugas kesihatan yang merawat dan mengawal wabak Covid-19. Selain itu, kerajaan juga tidak lupa kepada peniaga dan penjaja kecil yang terkesan akibat pandemik ini. Oleh itu, insentif untuk mereka juga telah disediakan.
“Kerajaan juga akan menangguhkan bayaran pinjaman Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM), bayaran denda lewat cukai tanah dan cukai petak (strata), pengurangan 50 peratus sewaan rumah kos rendah dan rumah pangsa Lembaga Perumahan Melaka (LPM),” tambahnya.
Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan 28,000 kit makanan asas kepada isi rumah yang berpendapatan RM3000 ke bawah, bekerja sendiri dan bergaji harian. Bantuan kit makanan ini disalurkan melalui Jawatankuasa Penyelaras DUN di seluruh Negeri Melaka.
“Saya berharap agar pengumuman insentif ini dapat membantu dan melegakan hati masyarakat di negeri ini ketika berdepan dengan pandemik Covid-19 terutama mereka yang terkesan akibat penularan wabak ini,” ujarnya lagi.
-KN