
Laporan/foto: Salawati Mat Shariff (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 11 Apr (MalaysiaAktif) – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan hampir sebulan setakat ini tidak menjejaskan hasil tangkapan untuk dijual kepada peraih yang setia menunggu nelayan pulang membawa hasil laut di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga.
Perkara ini diakui oleh Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan, semasa mengadakan pemantauan dan tinjauan di lokasi tersebut.

Ketua Polis Pulau Pinang, Sahabudin Abd Manan (tiga dari kanan) melihat urusniaga antara nelayan dengan peraih.
“Nelayan mengakui pendapatan mereka tidak terjejas walaupun tidak lagi menjual dengan cara berbisik iaitu tradisi yang diamalkan sejak sekian lama dulu malah ketika PKP ini dijalankan, hanya peraih sahaja dibenarkan berniaga dan orang ramai tidak dibenarkan datang membeli seperti sebelum ini.
“Hasil pemantauan mendapati nelayan dan peraih yang datang membeli hasil laut di situ mematuhi arahan dengan mempraktikkan penjarakan sosial malah hanya membenarkan sepuluh orang sahaja untuk berada dalam Pasar Bisik Kuala Muda pada satu-satu masa,” katanya yang ditemui, di sini baru-baru ini.
Jamil Mat Rashid, 55, salah seorang nelayan berkata terdapat peraih dari luar kawasan sanggup datang untuk mendapatkan bekalan ikan dari sini kerana di tempat mereka terpaksa di tutup akibat PKP dan secara tidak langsung ianya dapat meningkatkan pendapatan para nelayan.
Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara turut berada di lokasi untuk menyampaikan hebahan berkaitan inisiatif kerajaan kepada pengunjung Pasar Bisik tersebut.
-ii-