Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PKPD: Penduduk Dilarang Hulur, Terima Barangan Pihak Luar Tanpa Kebenaran Polis

By 28 April 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Penduduk di Selayang Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilarang menghulur atau menerima barangan daripada pihak luar melalui kawat berduri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata meskipun barang yang dihulur tidak berbahaya namun tindakan sedemikian mampu mengundang risiko jangkitan COVID-19.

”Tidak boleh mereka hulur melalui kawat duri sendiri, mesti melalui polis untuk kami periksa apa yang ingin diberi oleh orang luar kepada penduduk di dalam PKPD.

”Ia diperiksa kandungan yang ingin diberi, takut bagi benda yang tidak sepatutnya maka kami perlu membuat pemeriksaaan,” katanya semalam.

Tinjauan mendapati aktiviti menghulur barangan seperti makanan dan lain-lain keperluan kepada penduduk di bawah PKPD melalui kawat duri berlaku kerana ia lebih mudah, tanpa perlu melalui pemeriksaan polis.

Seorang warga Myanmar yang enggan dikenali berkata, dia sedang menunggu saudaranya untuk menghulurkan sedikit barang keperluan berhampiran kawat duri itu kerana stok barang dapur telah berkurangan.

“Saya tidak mahu menggunakan pintu masuk yang dikawal polis apabila menerima barangan, ia lebih mudah menghulurkan barangan melalui kawat duri kerana lebih cepat tanpa perlu melalui pemeriksaan polis,” katanya.

Dalam pada itu, Arifai berkata penduduk di bawah arahan PKPD Selayang Baru dibenarkan untuk keluar sekiranya mempunyai kes kecemasan seperti sakit dan seumpamanya.

Pemerhatian Bernama juga mendapati semua jalan di kawasan Selayang Baru, yang biasanya menjadi tumpuan masyarakat, lengang selepas PKPD dikuatkuasakan Sabtu lalu susulan peningkatan kes COVID-19 di lokasi terbabit.

Sehingga 9.30 malam ini, petugas kesihatan masih menjalankan proses saringan kesihatan dari rumah ke rumah di Jalan Besar, Jalan 8 dan beberapa jalan lain di Selayang Baru.

Penduduk juga dilihat memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan tanpa rasa takut, malah mampu menghadiahkan senyuman biarpun kawasan kediaman mereka berada di bawah arahan PKPD.

Seluruh kawasan dipagar dengan kawat duri setinggi satu meter termasuk di beberapa lokasi dipercayai menjadi ‘lorong tikus’ dan penghadang jalan diletakkan di semua laluan utama.

Kerajaan memutuskan untuk meletakkan kawasan Selayang Baru, Gombak, Selangor di bawah status PKPD mulai Sabtu lepas hingga 3 Mei ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda