Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: 187 Kes Baharu, Kebanyakannya Warga Asing

By 26 Mei 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak 187 kes positif baharu COVID-19 dilaporkan di Malaysia hari ini, dengan sebahagian besarnya membabitkan individu bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan tiga pemastautin tetap atau pasangan kepada warganegara Malaysia, manakala 177 kes, adalah penularan tempatan.

“Daripada 177 kes penularan tempatan, 173 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 155 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, dan 13 kes daripada Kluster Pengawal Keselamatan Cheras.

“Kes penularan tempatan di kalangan warganegara Malaysia adalah empat kes sahaja,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 7,604 kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,448 kes.

“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Sehingga kini, seramai lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, lima kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya tiada kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini, dengan jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia kekal 115 atau 1.51 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata, terdapat 62 kes pulih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad ialah 6,041 kes atau 79.4 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda