Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PKPIM Gesa KPT Kurangkan Yuran Pengajian Universiti

By 26 Mei 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengurangkan yuran pengajian di universiti berikutan ketidaktentuan ekonomi negara sepanjang penularan wabak COVID-19.

Presidennya, Ahmad Farhan Rosli, berkata adalah wajar untuk KPT meletakkan suatu polisi tetap dengan mengurangkan yuran bagi sesi pengajian kali ini di semua universiti awam memandangkan majoriti mahasiswa adalah daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40).

“Syor ini mengambil kira faktor hampir sebahagian besar universiti awam dan swasta mengendalikan program akademik secara dalam talian dengan menggunakan kemudahan persendirian tanpa melibatkan sebarang infrastruktur mahupun kemudahan universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, PKPIM juga merayu kepada pihak kerajaan mengekalkan subsidi pengajian tinggi di universiti awam bagi memastikan tiada sebarang kenaikan yuran pengajian mahasiswa baharu pada kemasukan 2020/2021.

“Langkah ini bertujuan memastikan peluang melanjutkan pelajaran tidak terjejas serta mampu ditampung terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana lebih-lebih lagi pada masa sukar sekarang,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda