Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman (Seberang Perai Utara)
PENAGA, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Empat sekeluarga hilang tempat tinggal selepas rumah didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Karancut baru-baru ini.
Mangsa, Rosli Saad, 51, berkata ketika kejadian dia tiada di rumah kerana turun ke laut dan hanya mengetahuinya apabila dimaklumkan oleh jiran.
“Semasa kebakaran, isteri dan anak-anaknya berada di rumah, namun berjaya menyelamatkan diri walaupun kini sehelai sepinggang dengan keadaan rumah dan kereta hangus dalam kebakaran.
“Saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat dan kini menumpang sementara di dewan berdekatan kerana tidak mempunyai tempat tinggal,” ujar Rosli.
Rosli berkata, beliau merasa sedikit terkilan kerana kejadian berlaku dalam bulan Ramadan dan akan menyambut bulan Syawal tidak lama lagi.
Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican, Ahmad Darus, turun padang untuk menziarahi keluarga mangsa dan turut menyampaikan sumbangan wang tunai serta barang keperluan asas.
Sumbangan juga diberi kepada tiga buah rumah yang mengalami kerosakan akibat kebakaran ini.
-ii-