
Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman (Seberang Perai Utara)
PINANG TUNGGAL, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu banyak memberikan kesan langsung kepada peniaga-peniaga makanan.
Peniaga sate, Sapiner Osman, 45 tahun, turut tidak terlepas dari terkena tempias PKP yang mendorong beliau untuk mengubah strategi perniagaan satenya dengan kaedah tunai semasa hantar (COD).
Menurut Sapiner, dia terpaksa mengubah kaedah perniagaannya itu dengan menggunakan media sosial seperti Facebook dan WhatsApp untuk mempromosikan perniagaannya.
“Melalui kaedah ini, saya boleh menjual seribu hingga tiga ribu cucuk sate sehari dengan setiap pesanan akan dihantar kepada pelanggan dalam masa yang ditetapkan dan pelanggan boleh memilih kaedah bayaran melalui tunai, bayaran dalam talian atau e-dompet.
“Permintaan terhadap sate amat menggalakkan dan kami akan memenuhi setiap pesanan dengan sebaiknya di samping mengamalkan peraturan PKP seperti memakai penutup muka, mencuci tangan dan mengamalkan jarak sosial satu meter ketika berurusan dengan pelanggan,” katanya.

Sapiner Osman (kanan) yang menjalankan perniagaan sate sedang menghantar tempahan sate kepada pelanggan.
Perniagaan sate diusahakan Sapiner ataupun dikenali sebagai Nas Satay telah beroperasi sejak 17 tahun lalu ini sememangnya mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan masyarakat tempatan.
-ii-