Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MARA Perkenal Dua Insentif Tambahan Bantu Usahawan Bumiputera

By 30 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkenalkan dua insentif tambahan bagi membantu usahawan Bumiputera yang terkesan akibat pandemik COVID-19, kata Pengerusinya Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata insentif tambahan itu membabitkan Skim Pembiayaan Kemudahan Pengukuhan Perniagaan Majlis Amanah Rakyat (SPAK) dan pemberian pengecualian sewa premis perniagaan bagi tempoh dua bulan.

Menurut Azizah, sebelum ini MARA telahpun mengumumkan moratorium bagi pembiayaan perniagaan selama enam bulan dan diskaun 30 peratus sewaan premis bagi tempoh sama dengan tetapan beberapa syarat, yang telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 usahawan agensi itu.

“Hasil Kajian Impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas usahawan MARA yang dilaksanakan membabitkan 2,436 responden mendapati wujud keperluan mendesak.

“Justeru itu, kita merasakan perlunya menambah insentif baharu ini bagi memastikan usahawan terus kekal bertahan dan mampu meneruskan perusahaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azizah berkata insentif tambahan itu adalah untuk menyediakan pembiayaan perniagaan mudah dan cepat disamping memberi jaminan khusus bagi membantu usahawan mikro memulihkan perusahaan mereka yang terjejas teruk.

“MARA memperuntukkan RM6 juta di bawah skim ini dan ia pasti mampu dimanfaatkan oleh lebih 600 usahawan.

“Skim ini berkonsepkan Qardhul Hasan dan tidak mengenakan sebarang kadar keuntungan, selain akan diproses dengan kadar segera bagi memenuhi keperluan usahawan sekali gus menyokong aliran tunai syarikat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azizah berkata, pemohon tidak perlu menyediakan sebarang jaminan atau cagaran dan pemohon hanya perlu menyediakan penyokong dalam kalangan keluarga terdekat.

Usahawan yang berminat boleh memohon secara dalam talian melalui pautan www.mara.gov.my/Myusahawan dan proses kelulusan akan mengambil masa selewat-lewatnya 14 hari daripada tarikh permohonan lengkap diterima, katanya.

Beliau berkata MARA kini mempunyai 7,261 lot premis perniagaan seluruh negara meliputi lot komersial (1,607 lot), arked (3,334 lot), bazar (1,892 lot) dan kawasan industri (428 lot).

“Pengecualian pembayaran sewa bagi April dan Mei yang kita berikan ini dianggarkan berjumlah RM10 juta termasuk insentif diskaun sewa diumumkan terdahulu.

“MARA akan sentiasa berusaha membantu usahawan Bumiputera untuk terus bersaing seiring pertumbuhan ekonomi semasa,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda