Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Operasi Disinfeksi, Sanitasi Awam Diterus Selepas Tempoh PKPB

By 23 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 23 Mei (Malaysiaaktif) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meneruskan operasi disinfeksi dan sanitasi awam selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata JBPM melakukan operasi berkenaan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti bangunan-bangunan yang berisiko mempunyai titik COVID-19.

“InsyaAllah anggota bomba akan pergi kepada titik fokus jangkitan COVID-19 ini, ke bangunan-bangunan yang kita percaya berisiko tinggi,” katanya pada sidang video bersama wakil petugas barisan hadapan negara yang terlibat dalam menangani COVID-19.

Sidang video selama kira-kira 30 minit itu disertai wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),  Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Mohammad Hamdan berkata pihaknya telah memulakan operasi disinfeksi dan sanitasi awam sejak Februari lepas lagi.

Sementara itu, mengenai pengurusan COVID-19 di pintu masuk negara, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya telah mengatur pengurusan COVID-19 sejak Disember tahun lepas.

“Sekarang ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kami bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dalam menguruskan kontak-kontak (rakyat Malaysia) dari luar negara.

“Mereka ini akan disaring oleh petugas KKM dan selepas itu diurus dan dibawa ke pusat kuarantin yang ditetapkan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda