Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Sukarelawan KKA Bantu Petugas Kesihatan Lawan COVID-19

By 23 Mei 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Ismali Ishak/Asmeer Fadlee Nor Azahar (KKA)

ARAU, 23 Mei (Malaysiaaktif) – Kolej Komuniti Arau (KKA) mengambil bahagian berbakti dan menyumbang tenaga dengan menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) melalui Projek Jahitan PPE bagi kegunaan para petugas kesihatan negara yang bergadai nyawa ‘berperang’ menentang wabak COVID-19.

Menurut Timbalan Pengarah Pengurusan Kolej Komuniti Arau merangkap Ketua Projek Jahitan PPE Surizan Romli, projek ini adalah salah satu khidmat komuniti yang dilaksanakan oleh pihak kolej dalam membantu negara melawan COVID-19.

Sukarelawan PPE Crew Kolej Komuniti Arau sedang menyiapkan set PPE untuk kegunaan para petugas kesihatan.

Sukarelawan PPE Crew Kolej Komuniti Arau sedang menyiapkan set PPE untuk kegunaan para petugas kesihatan.

“Projek Jahitan PPE fasa pertama yang bermula pada 3 Mei yang lalu telah berjaya menyiapkan 200 set PPE oleh 22 orang Sukarelawan PPE Crew yang terdiri daripada pensyarah dan kakitangan KKA.

“Inisiatif ini merupakan kerjasama antara Kolej Komuniti Arau dengan Kolej Komuniti Sungai Petani dan Kolej Komuniti Baling yang secara keseluruhannya telah menghasilkan sebanyak 4000 set PPE setakat ini,” katanya ketika ditemui di pejabat KKA, semalam.

Tambah beliau, gabungan kemahiran dan kemudahan yang dimiliki oleh pensyarah dan pihak kolej ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat selaras dengan visi KKA sebagai peneraju TVET negara dalam melahirkan masyarakat yang berkemahiran.

Set pakaian perlindungan diri (PPE) yang telah siap dijahit.

Set pakaian perlindungan diri (PPE) yang telah siap dijahit.

“Projek Jahitan PPE juga merupakan satu interpretasi pihak kolej dalam menghargai jasa dan pengorbanan para petugas barisan hadapan negara.

“Kini, projek ini diteruskan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di mana Sukarelawan PPE Crew sedang dalam proses menyediakan set PPE untuk kegunaan Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dan Pejabat Kesihatan Daerah,” ujarnya.

Surizan berharap sumbangan khidmat bakti Sukarelawan PPE Crew Kolej Komuniti Arau ini dapat meringankan beban para petugas kesihatan.

Penyampaian kain bagi projek PPE oleh wakil Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Penyampaian kain bagi projek PPE oleh wakil Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

“Sukarelawan PPE Crew sangat berbesar hati kerana dapat mencurahkan kemahiran dengan menyediakan set PPE demi memastikan usaha kerajaan bagi memerangi wabak COVID-19 berjalan lancar.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Persatuan Penyayang Sungai Petani Kedah yang telah bermurah hati menaja kain bagi tujuan penyediaan PPE ini,” ujarnya lagi.

-NI-

Tinggalkan komen anda