Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PBDB Bantu Edar 5,000 Kit Pencegahan COVID-19 di Lima Negeri

By 30 Mei 2020Tiada komen1 minit bacaan

PUTRAJAYA, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Badan  bukan kerajaan (NGO) Persatuan Belia Dinamik Barat (PBDB) mengambil inisiatif mengedarkan 5,000 kit pencegahan kepada mereka yang kurang berkemampuan, bagi membantu mengekang penularan wabak COVID-19.

Pengerusi PBDB Zaharuddin Abd Majid berkata pengedaran kit, yang mengandungi pelitup separuh muka,  cecair pembasmi kuman dan vitamin C, meliputi lima negeri iaitu Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kelantan dilaksanakan bermula 24 April lepas.

Selain bantuan kit pencegahan, PBDB bersama beberapa NGO lain turut berganding bahu membantu mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyumbang barangan keperluan asas.

“Sumbangan berkenaan meliputi pelbagai golongan sasaran dan mengikut keperluan dan ia disampaikan sepanjang PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan. PBDB mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama turut serta membantu komuniti sekitar agar kita berjaya melawan wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi memastikan masyarakat terus kekal aktif sepanjang PKP dan PKPB, Zaharuddin berkata pihaknya dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi video berdurasi dua minit yang mengandungi nasihat aktiviti yang boleh dilakukan serta pesanan supaya masyarakat terus menjaga kebersihan tangan dan menggunakan penutup hidung dan mulut.

“Video berkenaan dihasilkan oleh ahli PBDB sendiri dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda