Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Ipoh)
IPOH, 14 Mei (Malaysiaaktif) – Semua masjid dan surau diri Jumaat di seluruh Negeri Perak kini dibenarkan untuk melaksanakan Solat Jumaat berkuatkuasa 15 Mei 2020 (esok).
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak Shahrul Azam Shaari, turut memaklumkan Solat Sunat Aidilfitri juga dibolehkan di semua masjid dan surau.
“Walaubagaimanapun, beberapa syarat perlu dipenuhi antaranya bilangan jemaah mestilah tidak melebihi 12 orang termasuk imam dan khatib selain terbatas kepada kalangan Ahli Jawatankuasa Kariah dan Pegawai masjid atau surau sahaja.
“Warga berusia lebih daripada 60 tahun dan juga mereka yang mempunyai gejala seperti demam dan selesema selain mempunyai sejarah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya adalah tidak digalakkan untuk hadir berjemaah,” jelasnya menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, di sini hari ini.
Bagi memastikan keselamatan diri dan orang lain, jemaah dikehendaki mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah sendiri sebelum membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran setibanya di masjid atau surau.
“Jawatankuasa Kariah Masjid dan surau diri Jumaat dibenarkan untuk menggunakan pembesar suara luar semasa bacaan teks khutbah dan takbir untuk manfaat ahli-ahli kariah di sekitar masjid dan surau.
“Teks khutbah tersebut mestilah ringkas dan padat dengan masa penyampaian tidak melebihi 10 minit, disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), manakala untuk solat sunat Aidilfitri tempoh pelaksanaannya dari mula bertakbir hingga selesai khutbah haruslah tidak melebihi 20 minit,” katanya lagi.
Shahrul turut memaklumkan bahawa masjid dan surau diri Jumaat masih belum dibuka kepada orang awam, sebaliknya kebenaran ini hanya diberikan kepada ahli Jawatankuasa Kariah dan Pegawai masjid dan surau.
“Mana-mana masjid dan surau diri Jumaat yang gagal mematuhi kesemua syarat dan panduan yang ditetapkan, tidak akan dibenarkan untuk melaksanakan Solat Jumaat dan Solat Sunat Aidilfitri berkenaan,” tambahnya.
-SH