Foto: MBA
PUTRAJAYA, 1 Mei (Malaysiaaktif) – Tiada aktiviti perhimpunan Hari Wesak tahun ini berikutan pandemik COVID-19, menurut Persatuan Penganut Buddha Malaysia (MBA).
MBA dalam kenyataan hari ini memaklumkan, oleh itu pihaknya akan mengeluarkan video yang dirakam oleh para guru dan pelajar Institut Penganut Buddha Malaysia mengenai upacara memandikan patung Buddha dan bacaan doa untuk sambutan tahun ini.
“Orang ramai boleh menyertai acara ini menerusi dalam talian secara serentak di rumah pada Hari Wesak,” menurut kenyataan itu.
Penganut agama Buddha akan menyambut Hari Wesak pada 7 Mei ini sebagai simbol kelahiran, pencerahan agung dan kematian Buddha Siddharta Gautama, pengasas agama ini.
MBA memaklumkan penganut agama Buddha di seluruh negara dialu-alukan untuk menonton upacara ini menerusi laman sesawang MBA http://www.mbahq.my dan Facebook http://www.facebook.com/malaysianbuddhistassociation pada 7 Mei nanti.
“MBA berharap penganut dapat berkongsi upacara dalam talian ini bersama-sama ahli keluarga di rumah,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA