Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

33 Kes Baharu, 17 Kes Penularan dalam Negara

By 13 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 13 Jun (Malaysiaaktif) – Memasuki hari ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), sebanyak 33 kes baharu positif COVID-19 dikesan hari ini melibatkan 17 kes penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,402 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 1,115 kes.

“Daripada 33 kes baharu yang dilaporkan, 16 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 17 kes penularan di dalam negara, 14 kes adalah bukan warganegara dan tiga kes adalah di kalangan warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini semalam.

Jelasnya, bagi tiga kes dalam kalangan warganegara, kes saringan kontak kepada kes positif (kes ke-7,735) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kes saringan pusat tahfiz di Selangor serta kes saringan kepada kes kematian dalam komuniti iaitu kes kematian ke-119, masing-masing mencatatkan satu kes.

Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 119 kes (1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Kes kematian ke-119 (kes ke-8,370) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 85 tahun, beliau telah meninggal dunia pada 11 Jun 2020 di rumah beliau dan jenazah dibawa ke Hospital Keningau, Sabah. Ujian saringan ke atas beliau telah didapati positif COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sejumlah 103 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 sebanyak 7,168 kes (85.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Beliau turut memaklumkan sebanyak empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) namun tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda