Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

44 Individu Dikompaun Langgar PKPB

By 5 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/IPD Gombak

RAWANG, 5 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 44 individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam serbuan di sebuah premis di Desa Jaya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, premis tersebut merupakan sebuah kafe yang berkonsepkan hiburan.

“Polis menerima aduan pada jam 9.15 malam tadi yang menyatakan terdapat ramai orang berkumpul dan berhibur termasuk minum arak di premis tersebut.

“Ianya secara tidak langsung telah melanggar prosedur operasi standard dalam tempoh PKPB.

“Semua individu tersebut gagal memberikan alasan munasabah dan di bawa ke balai serta dikompaun kerana gagal mematuhi
Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di Balai Polis Rawang, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Arifai memaklumkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah mengeluarkan 102 kompaun gagal patuh PKPB sejak 22 Mei lalu.

“Ianya termasuk 22 kompaun di sekatan jalan raya (SJR) Tol Gombak dan lapan kes di SJR Jalan Gombak Lama.

“Sebanyak 14 pula dikompaun kerana ziarah Aidilfitri dan 59 kompaun bagi kesalahan pusat hiburan serta lain-lain termasuk perjudian,” katanya.

Katanya, bagi permohonan permit rentas negeri pula pihaknya menerima purata antara 500 hingga 700 permohonan setiap hari.

“Permohonan diterima atas pelbagai alasan antaranya pasangan jarak jauh, kecemasan dan perubatan, kematian selain sebab bekerja serta pulang ke tempat pengajian.

“Hari ini sahaja sehingga jam 4 petang, sebanyak 360 permit rentas negeri telah dimohon dan sebanyak 350 telah diluluskan sementara 10 yang lain ditolak,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda