Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

500 Jemaah Dibenarkan Tunai Solat Jumaat

By 6 Jun 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Noorezrin/Muhammad Naim (Jempol)

JEMPOL , 6 Jun (Malaysiaaktif) –  Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah memberikan kebenaran kepada lapan buah masjid di negeri ini untuk menunaikan Solat Jumaat dengan berpandukan garis panduan (SOP) solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Jumaat.

Menurut Pegawai Agama Islam Daerah Jempol merangkap Pengerusi Masjid Tuanku Muhriz Muzahar Mat Dali, pihak JHEAINS telah membuat SOP kepada orang awam yang ingin menunaikan solat Jumaat dengan mendaftar kehadiran menggunakan laman sesawang JHEAINS dan jumlah kehadiran jemaah adalah bergantung kepada kapasiti keluasan masjid.

“Pihak kami menerima banyak permohonan daripada orang ramai untuk menunaikan solat Jumaat namun perlu akur terhadap SOP yang telah dikeluarkan dengan mengambil kira kapasiti masjid ini, hanya 500 jemaah sahaja yang dapat dibenarkan, ” ujar beliau.

Menyentuh berkenaan persediaan pihak masjid, Muzahar berkata perbincangan terperinci telah diadakan oleh pihak masjid bersama agensi keselamatan dan penguatkuasa seperti Majlis Perbandaran Jempol, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol dan Pejabat Daerah Jempol bagi menjamin semua SOP dipatuhi dan berjalan lancar.

WhatsApp Image 2020-06-06 at 12.07.04

Jawatankuasa Masjid bersama Ahli DUN Serting, Pegawai Daerah Jempol serta Ketua-ketua Jabatan Daerah.

“Semua jawatankuasa masjid dan juga petugas agensi juga telah diberikan taklimat tugas dalam memastikan setiap jemaah menjalani saringan dengan mengambil suhu dan juga butiran jemaah sebelum dibenarkan masuk ke dalam masjid.

“Setiap jemaah juga telah diingatkan untuk membawa sejadah sendiri dan mengambil wuduk dari rumah dan petugas masjid telah menyediakan saf untuk orang ramai dengan penjarakan 1.5 meter antara satu sama lain serta menyediakan plastik bungkusan bagi selipar atau kasut masing-masing,” ujar Muzahar.

Tambah Muzahar lagi, pihaknya berpuashati dengan kelancaran urusan pada hari ini dan berterima kasih dengan semua pihak yang terlibat terutamanya agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasa, pegawai daerah dan Pejabat Penerangan Daerah serta kepada semua jemaah yang berdisplin dan mematuhi setiap syarat yang diberikan.

Sementara itu, Muhamad Redha Derham, 31, antara jemaah yang ditemui hari ini meluahkan rasa kesyukuran kerana dapat bersolat Jumaat.

“Apabila permohonan dibuka, masih ada kuota dan saya bertuah menjadi salah seorang jemaah pada hari ini dan semoga ada ruang untuk yang seterusnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan, Shahnon Mohamad yang dalam lawatan kerja ke Pejabat Penerangan Daerah Jempol turut berkesempatan untuk bersama-sama menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut bersama petugas daerah yang telah mengedarkan poster langkah-langkah pencegahan Covid-19 kepada masyarakat sekitar.

-AK

Tinggalkan komen anda