Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pasar Malam, Pasar Pagi di WP Dibenar Beroperasi Bermula 15 Jun Ini

By 6 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 6 Jun (Malaysiaaktif) – Semua pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan dibenarkan beroperasi bermula 15 Jun ini, tertakhluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini termasuk waktu operasi yang terhad bagi pasar pagi dan pasar terbuka (6 pagi hingga 11 pagi), pasar malam (4 petang hingga 10 malam) dan bazaria (5 petang hingga 11 malam).

“SOP itu juga merangkumi jarak sosial kedudukan gerai ditetapkan iaitu 1.5 meter hingga dua meter dan lokasi kawasan perlu terbuka dan berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala.

“Pasar-Pasar ini termasuk yang menjual makanan dibenarkan hanya menjual secara bawa pulang sahaja. Peniaga juga perlu memakai pakaian perlindungan diri, sarung tangan dan pelitup muka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Pada masa sama, peniaga serta pengunjung diwajibkan untuk menggunakan aplikasi MySejahtera dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berhak menutup mana-mana perniagaan yang tidak mematuhi SOP itu.

Ismail Sabri berkata SOP itu turut boleh diguna pakai pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pasar-pasar di seluruh Malaysia.

Sementara itu, katanya seramai 21 individu ditahan dan direman semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Beliau berkata polis turut mengeluarkan kompaun kepada 277 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB namun tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.

Sejumlah 32 kenderaan turut diarah berpatah balik selepas didapati cuba melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran, dan antara negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi ialah Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda