Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19: 10 Kes Baharu, Kebolehjangkitan Kekal Bawah 200

By 28 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 28 Jun (Malaysiaaktif) –  Kes jangkitan COVID-19 di negara kembali kepada angka dua digit apabila 10 kes baharu dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 8,616 kes dengan kebolehjangkitan 187 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 10 kes tersebut, enam kes merupakan penularan dalam negara manakala empat lagi adalah kes import.

“Empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan seorang warganegara Malaysia dan tiga  bukan warganegara yang merupakan pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja,” katanya dalam kenyataan.

Memperincikan kes jangkitan dalam negara dalam kalangan warga tempatan, beliau berkata satu kes dikesan di Selangor melalui saringan prapembedahan manakala tiga lagi melalui saringan pelajar tahfiz di ibu negara.

Bagi kes jangkitan dalam negara melibatkan bukan warganegara pula, satu kes dikesan di Negeri Sembilan membabitkan Orang Kena Tuduh (OKT) yang dimasukkan ke lokap dan satu kes menerusi ujian saringan tempat kerja kontraktor di Sabah.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 14 kes pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif pulih adalah sebanyak 8,308 kes iaitu 96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, sebanyak dua kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).Tiada kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian, menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal 121 kes iaitu 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga kelmarin, seramai 61,576 warga Malaysia telah pulang dari luar negara dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 610 kes iaitu 1.0 peratus  dikesan positif.

Beliau mengingatkan agar individu yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin di kediaman masing-masing dan menjalani pengawasan dan pemerhatian selama 14 hari berdasarkan garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya individu tersebut juga perlu memakai Gelang Perintah Pengawasan sepanjang tempoh tersebut, menjalani ujian serologi COVID19 di klinik kesihatan atau klinik swasta diiktiraf  KKM pada hari ke-13 serta hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah pada hari ke-14 untuk mendapat pelepasan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda