
Laporan/foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Penerima pencen penakat dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Nasuha Omar, 33, mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih ketika ditanya mengenai perasaannya apabila bakal menerima faedah pencen penakat.
“Syukur alhamdulillah dan terima kasih PERKESO Kemaman atas bayaran yang akan diberikan kepada saya dan anak-anak,” ungkap Nasuha yang kehilangan suami Mohd Shahrul Nizam Ahmad, 32, akibat kanser paru-paru pada 3 Jun lalu.
“Arwah telah memohon untuk pencen ilat di Pejabat PERKESO Kemaman pada bulan Mei tahun ini, namun tidak sempat dirujuk ke jemaah doktor setelah meninggal dunia terlebih awal,” katanya.
Skuad Prihatin PERKESO (SPP) Kemaman telah mengunjungi rumah waris arwah di Kampung Geliga, Kemaman.
Kehadiran SPP disambut mesra oleh balu arwah, Nasuha Omar dan empat orang anak arwah yang masih kecil. Salah seorang anak arwah iaitu anak yang bongsu merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Urusan tuntutan dipermudahkan dalam kunjungan tersebut apabila SPP Kemaman telah menyiapkan segala dokumen tuntutan faedah pengurusan jenazah dan pencen penakat yang akan diterima oleh balu adalah sehingga akhir hayat dan semua bayaran akan dikreditkan ke dalam akaun.

Pengurus PERKESO Kemaman, Bunjamin Ahmad Almarzuki, (berbaju biru) menyampaikan penerangan secara ringkas akan faedah yang akan diterima oleh balu dan anak-anaknya.
Pencen berkenaan juga termasuk perbelanjaan untuk anak arwah sehingga mereka berusia 21 tahun ataupun selepas tamat pengajian ijazah pertama di universiti manakala bagi anak OKU pula, pencen akan dibayar sehingga akhir hayat.
Nasuha yang merupakan seorang suri rumah berkata sumbangan yang diterima ini akan banyak membantu untuk membesarkan anak dari segi perbelanjaan harian dan pelajaran mereka kelak.

Pegawai Penyiasat, Suria Ismail ketika menyampaikan dokumen bagi pihak PERKESO Kemaman beserta wang RM 2, 000.
Turut hadir dalam kunjungan ini adalah Pengurus PERKESO Kemaman, Bunjamin Ahmad Almarzuki, Pegawai Penyiasat, Suria Ismail dan mantan Pengurus PERKESO Dungun, Ariff Rani.
Borang lengkap diterima oleh Suria dan bayaran pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 juga telah dibayar pada kunjungan tersebut.
-ii-