Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kementerian Komited Bantu Penempatan Semula Pekerjaan bagi Rakyat Tempatan

By 14 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Kementerian Sumber Manusia (KSM) komited untuk membantu penempatan semula pekerjaan bagi rakyat tempatan yang diberhentikan kerja susulan impak wabak COVID-19.

Menterinya Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataannya hari ini berkata KSM akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu kelangsungan ekonomi dan sara hidup pekerja rakyat tempatan.

“Bagi memberi keutamaan kepada pencari kerja tempatan, semua kekosongan jawatan bagi pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang mestilah diiklankan di portal JobsMalaysia untuk tempoh tidak kurang 30 hari,” katanya lagi.

Kata Saravanan, sekiranya tiada pengisian dari kalangan pencari kerja tempatan dalam tempoh tersebut baharulah majikan dibenarkan untuk membuat permohonan pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang.

Satu lagi inisiatif, tambahnya,  ialah pendaftaran dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Bencana Kerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dijadikan sebagai syarat wajib dalam pengeluaran dan pembaharuan Pas Penggajian pegawai dagang dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja asing.

Kata beliau, KSM akan  mewajibkan majikan mematuhi elemen “Foreign Workers First Out (FWFO)” selaras dengan peruntukan Seksyen 60 N Akta Kerja 1955 dan Tatacara Keharmonian Perusahaan.

“Ini (FWFO) bagi memastikan aspek berkaitan pemberhentian, perkhidmatan pekerja asing mestilah ditamatkan terlebih dahulu bagi menjamin kelangsungan pekerjaan pekerja tempatan,” kata Saravanan lagi.

Katanya, setiap majikan perlu melaporkan tindakan pemberhentian pekerja kepada Pejabat Tenaga Kerja menerusi Borang PK (Borang Pemberhentian) dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 hari sebelum pemberhentian kerja, pemberhentian sementara dan pemberhentian sukarela dan pengurangan gaji dilaksanakan selaras dengan Seksyen 63 Akta Kerja 1955.

“Pelaporan ini penting untuk membantu KSM memantau tindakan pemberhentian oleh majikan serta membantu penempatan semula pekerjaan kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Saravanan berkata , satu lagi inisiatif ialah memberi kelonggaran kepada majikan-majikan yang terkesan dan tidak berkeupayaan untuk meneruskan penggajian pekerja asing untuk memindah atau menukarkan keseluruhan atau sebahagian pekerja asing mereka kepada syarikat lain yang mempunyai keperluan tenaga kerja.

Namun demikian, katanya, ini hanya dibenarkan berlaku dalam sektor pekerjaan yang sama dan permohonan pertukaran majikan boleh dikemukakan ke ibu pejabat  Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bermula 19 Jun. Maklumat lanjut dan dokumen-dokumen berkaitan boleh diperoleh di laman sesawang jtksm.mohr.gov.my.

Menurutnya pengagihan semula pekerja sedia ada (tempatan dan asing) adalah merentasi semua sektor bagi memastikan lebihan pekerja dalam sesuatu sektor akan dimanfaatkan oleh sektor berkeperluan yang mengalami kekurangan pekerja.

“Dalam memastikan keberkesanan strategi penempatan semula pekerjaan ini, KSM dan JTKSM memohon sokongan, kerjasama serta penyaluran maklumat daripada semua pemain dalam pelbagai industri,” kata Saravanan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda