Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Op Benteng : 396 Pendatang Tanpa Izin, 108 Tekong Ditahan

By 9 Jun 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Markas ATM

PUTRAJAYA, 9 Jun (Malaysiaaktif) – Seramai 396 pendatang tanpa izin dan 108 tekong telah ditahan dalam Op Benteng sejak 1 Mei lepas sehingga semalam atas cubaan memasuki sempadan negara secara haram.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak berkuasa juga berjaya menahan 11 individu disyaki penyeludup serta menyita 13 buah kapal.

“Pada tempoh yang sama, pihak penguatkuasaan juga berjaya mengusir 140 pendatang tanpa izin, enam tekong serta 22 kapal yang membuat cubaan  membolosi kawasan sempadan negara.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang cuba untuk memasuki sempadan negara secara haram,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini semalam.

Ismail Sabri berkata dalam usaha untuk membendung kemasukan warga asing ke negara ini, agensi-agensi penguat kuasa akan terus memperketatkan kawalan di kawasan sempadan terutamanya lorong-lorong tikus.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata kerajaan Malaysia dan Singapura kini dalam proses perbincangan bagi membenarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk berulang-alik atas urusan kerja.

Beliau berkata kerajaan mengambil maklum bahawa sektor industri di Singapura telah mula beroperasi dan sektor industri negara itu telah meminta kebenaran supaya pekerja warga Malaysia dibenarkan untuk berulang alik.

“Pelaksanaan kebenaran ini masih dalam perbincangan antara Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negara (Wisma Putra) bersama rakan sejawatnya di Singapura,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda