Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

PKPP : Kompaun Masih Diteruskan Jika Langgar SOP

By 9 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Jabatan Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 9 Jun (Malaysiaaktif) – Kompaun masih dikenakan walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bakal berkuat kuasa pada Rabu ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata walaupun tiada lagi sekatan jalan raya dan larangan pergerakan rentas negeri dibuat dalam tempoh PKPP, orang ramai perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sekarang ini, tiada kawalan pergerakan (dalam PKPP dan) telah dibebaskan tetapi ia lebih kepada pematuhan SOP dan pemantauan pihak berkuasa seperti biasa untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP.

“Sebagai contoh kegagalan sebuah premis mematuhi SOP akan menyebabkan premis berkenaan ditutup dan dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini semalam.

Ismail Sabri berkata walaupun PKPP bakal berkuat kuasa, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berterusan dalam tempoh PKPP.

“Sebagai contoh, di dalam sebuah bas, jika mahu ia berkapasiti penuh maka tiada penjarakan sosial yang berlaku. Lebih-lebih lagi, kita tidak tahu siapa dan nombor telefon penumpang yang menaiki bas tersebut sekali gus akan menyukarkan kita untuk mengesan mereka sekiranya penularan wabak berkenaan berlaku.

“Begitu juga jika berada di tempat-tempat awam seperti pasar-pasar awam, pasar raya, pasar tani, dan pasar malam yang telah dibenarkan beroperasi dengan SOP tertentu. Jadi, kekalkan kawalan kendiri dan terus patuh SOP untuk pastikan keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata pihaknya akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Kesihatan mengenai SOP terperinci sambutan Hari Raya Aidiladha kelak.

“Kita akan umumkan SOP berkenaan apabila sampai masanya nanti. Mengenai ziarah kubur pula, ia juga dibenarkan tetapi ia juga mesti lah mempunyai penjarakan sosial dengan kapasiti 20 orang pada satu-satu masa mengikut keluasan tanah perkuburan,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan asas kepada SOP ialah penjarakan sosial dan perkara yang sama juga perlu dilakukan walaupun selepas pelaksanaan PKPP.

Menurutnya, penjarakan sosial ini perlu dijadikan sebagai satu normal baharu dalam kehidupan selepas ini bagi terus mengekang penularan COVID-19.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda