Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Sanitasi Nyah Kuman untuk Keselamatan Sesi Persekolahan

By 29 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhasirah Deris (Marang)

MARANG, 29 Jun (Malaysiaaktif) – Bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebelum pembukaan semula sesi persekolahan dipatuhi, Yayasan Islam Negeri Terengganu mengambil langkah melaksanakan satu taklimat khas berkenaan sanitasi nyah kuman dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai untuk proses pelaksanaan serta taklimat keselamatan kepada para guru bagi permulaan sesi pembukaan semula Tadika Yayasan Islam di Terengganu yang dijadualkan bermula 1 Julai ini.

Bagi tadika Yayasan Islam Cawangan Bukit Payong, taklimat keselamatan dan proses sanitasi ini dilaksanakan pada 13 Jun lalu. Pihak Bomba Wakaf Tapai dijemput menyampaikan taklimat proses sanitasi kepada guru-guru dan juga Pembantu Rendah Am sebagai persediaan untuk melakukan proses sanitasi ketika sesi persekolahan bermula nanti.

Anggota Bomba sedang membuat semburan nyahkuman dalam bilik kelas..

Anggota Bomba sedang membuat semburan nyahkuman dalam bilik kelas..

Dalam taklimat tersebut, anggota bomba telah menunjukkan cara-cara yang betul bagi proses sanitasi di sekitar pekarangan sekolah, pejabat pentadbiran, bilik guru, bangunan kelas, kantin dan juga tandas.

Menurut Guru Besar Tadika Yayasan Islam Cawangan Bukit Payong, Haliza Ibrahim, taklimat proses sanitasi ini dapat memberikan jaminan keselamatan kepada murid-murid juga memastikan guru-guru boleh mengawal situasi dan keadaan ketika sesi bermula nanti.

“Selain memberi penerangan, taklimat ini juga merupakan persediaan untuk guru-guru kami memberikan perkhidmatan pendidikan yang terbaik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Taman permainan turut dinyah kuman oleh dua orang anggota Bomba.

Taman permainan turut dinyah kuman oleh dua orang anggota Bomba.

“Ibu bapa juga boleh merasa lega dan berlapang dada untuk menghantar anak-anak ke sekolah dengan tenang,” katanya.

Mengenai taklimat ini, Zukifli Md Akhir selaku pegawai yang mewakili Bomba Wakaf Tapai turut berharap supaya taklimat dan perkhidmatan sanitasi yang diberi oleh pihaknya dapat diguna pakai dan diaplikasikan di sekolah untuk masa seterusnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah & Penerangan, Mohd Nor Hamzah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong turut hadir bersama menjayakan taklimat ini.

Pegawai Bomba, Zukifli Md akhir sedang memberi taklimat kepada ADUN Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah dan kakitangan Tadika Yayasan Islam Bukit Payung.

Pegawai Bomba, Zukifli Md akhir sedang memberi taklimat kepada ADUN Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah dan kakitangan Tadika Yayasan Islam Bukit Payung.

Beliau berharap semua yang berkaitan dapat memberikan yang terbaik bagi memastikan kelancaran proses persediaan pembukaan sesi persekolahan.

Walaupun proses sanitasi ini telah berjaya dilakukan, Mohd Nor turut berpesan supaya sepanjang tempoh yang diperlukan, proses sanitasi ini dapat dilakukan dengan berterusan sebelum dan selepas proses pembelajaran dengan mengikut saranan dan SOP yang telah ditetapkan.

-ii-

Tinggalkan komen anda