Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

854 Pelajar SK Port Dickson ‘Lapor Diri’ Hari Ini

By 22 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto:  Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Farhan Abdullah

PORT DICKSON, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Seramai 854 orang pelajar prasekolah dan pelajar tahun satu hingga empat SK Port Dickson telah hadir bagi sesi persekolahan hari ini.

Tinjauan Malaysiaaktif ke Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson hari ini menyaksikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaksanakan dengan baik oleh pihak sekolah.

Guru Besar SK Port Dickson Zuraidah Ahmad, berkata pihak sekolah amat mengalu-alukan kembali para pelajar ke sekolah setelah hampir empat bulan melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemakaian pelindung muka juga turut diamalkan oleh sesetengah pelajar.

Pemakaian pelindung muka juga turut diamalkan oleh sesetengah pelajar.

“Saya menyambut baik pembukaan kembali sesi persekolahan yang melibatkan semua pelajar prasekolah, tahun satu hingga empat pada hari ini yang pastinya pelajar dan guru teruja untuk kembali ke sekolah dan melalui sesi pembelajaran secara bersemuka di kelas.

“Melaluinya, kita akan dapat melihat sejauh mana keberkesanan pendidikan secara dalam talian yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKP ini. Pendidikan secara terus atau bersemuka pula dapat memberikan ruang kepada guru dan pelajar untuk menilai tahap kefahaman dan perkembangan pelajar itu sendiri,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Zuraidah berkata, pihak sekolah telah membuat persiapan sewajarnya mengikut garis panduan yang ditetapkan termasuklah pelaksanaan simulasi yang turut dipantau oleh Pejabat Pendidikan Daerah serta penyediaan ruang di kelas yang secukupnya.

Pelajar prasekolah turut memulakan sesi hari ini.

Pelajar prasekolah turut memulakan sesi hari ini.

“Kita juga akan melaksanakan waktu rehat secara berperingkat mengikut tahap dan pelaksanaan pengumuman yang dibuat setiap pagi tentang pematuhan SOP serta pengamalan kawalan kendiri bagi pelajar dan guru dalam memastikan sesi pembelajaran di sekolah berjalan mengikut norma baharu dan ketetapan yang digariskan.

“Pihak sekolah turut menyediakan keperluan seperti pemeriksaan suhu di dua pintu masuk sekolah, pelitup muka, cecair pembasmi kuman bagi setiap pelajar dan kelas, selain inisiatif membuat sendiri lapan buah sinki bagi kemudahan pelajar mencuci tangan,” katanya lagi.

Pelajar prasekolah berkenaan, Cahaya Rabiatun Adawiyah Hishamudin, 6, sangat gembira dapat kembali hadir ke sekolah bersama-sama dengan rakan-rakan untuk membuat aktiviti di kelas.

“Seronok sebab saya dapat jumpa cikgu dan kawan-kawan, tetapi dalam musim sekarang saya kena pakai pelitup dan duduk jauh-jauh dari kawan yang lain,” katanya.

-SH

Tinggalkan komen anda