Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Aplikasi Gerak Malaysia Ditamatkan

By 31 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Aplikasi Gerak Malaysia, yang dibangunkan untuk pengesanan dan penyimpanan rekod pergerakan yang terperinci semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ditamatkan mulai hari ini.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihati pengguna agar memadam aplikasi itu daripada telefon bimbit masing-masing kerana tidak lagi mempunyai fungsi aktif selepas hari ini.

“Dengan pelaksanaan PKP Pemulihan sejak 10 Jun lepas, yang menyaksikan tiada lagi keperluan permit rentas sempadan negeri, PDRM dan SKMM memutuskan bahawa penggunaan aplikasi Gerak Malaysia tidak lagi diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Katanya, semua data peribadi akan diserah kepada Kementerian Kesihatan dan rekod pergerakan pengguna berkaitan aplikasi Gerak Malaysia yang disimpan akan dilupuskan.

Selain membantu mengesan kontak rapat kes COVID-19, aplikasi Gerak Malaysia membolehkan PDRM menguruskan permit perjalanan rentas sempadan negeri dan memantau jumlah pergerakan dalam masa nyata.

Menurut kenyataan itu, PDRM dan SKMM telah berjaya menguruskan pergerakan trafik dalam tempoh PKP menerusi aplikasi Gerak Malaysia.

“Kerjasama antara PDRM dan SKMM telah menyumbang kepada kejayaan pelbagai operasi. Kerjasama baik ini akan diteruskan dalam menghadapi cabaran di masa hadapan demi ketenteraman rakyat dan keselamatan negara,” katanya.

Kenyataan itu turut menyeru orang ramai agar memuat turun aplikasi MySejahtera bagi membantu pihak berkuasa mencegah dan mengawal penularan pandemik COVID-19 secara berkesan.

“Aplikasi ini secara asasnya digunakan untuk memperkasa penduduk Malaysia melakukan penilaian kendiri, mendapat maklumat terkini tentang COVID-19, mengetahui kawasan berisiko, mendaftar diri sebelum memasuki sesuatu premis dan lain-lain lagi,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda