Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kira-kira 30,000 Veteran ATM Tidak Berpencen Digesa Supaya Mendaftar dengan JHEV

By 12 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 12 Jul (Malaysiaaktif) – Kementerian Pertahanan masih mencari dan mengenal pasti kira-kira 30,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen dan masih belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta anggota veteran berkenaan supaya mendaftar dalam laman sesawang JHEV bagi membolehkan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dapat disalurkan.

“Kita minta mereka (veteran) daftar segera sebab kalau tidak (berdaftar), kita tidak dapat bagi bantuan walaupun kerajaan menyediakan bantuan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kebajikan sempena Program Cakna Veteran ATM di Kampung Suang Parai, di Sabah semalam.

Ismail Sabri berkata dalam bantuan PRIHATIN yang diumumkan kerajaan pada April lepas,  bantuan sebanyak RM500 secara sekali bayar akan diagihkan kepada veteran berpencen dan yang tidak berpencen sehingga September ini.

Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira 80,000 veteran ATM yang tidak berpencen telah berdaftar dengan JHEV ATM.

Di negeri Sabah terdapat kira-kira 16,000 veteran ATM dan masih ada yang belum berdaftar dengan JHEV.

Ismail Sabri berkata antara faktor yang menyebabkan veteran itu tidak berdaftar disebabkan duduk jauh di kawasan pedalaman selain tidak mengetahui maklumat berkenaan.

“Oleh sebab itu kita minta persatuan veteran supaya mengesan veteran ini kerana di setiap daerah dan kawasan ada persatuan veteran,” katanya.

Mengenai lawatan itu, Ismail Sabri berkata ia merupakan sebahagian program cakna yang dilaksanakan  sepanjang masa bagi membantu veteran yang memerlukan bantuan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda