Laporan/foto: Sharifah Ithnin/Rizal Jasmi (Alor Gajah)
MELAKA, 25 Jul (Malaysiaaktif) – ‘Malaysia Prihatin’ dipilih menjadi tema Hari Kebangsaan pada tahun ini yang melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Menerusi Program Info On Wheels Merdeka, warga Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah bersama Jawatankuasa Pembangunan Dan Penyelarasan(Japerun) Durian Tunggal telah turun padang bertemu masyarakat bagi menggelorakan sambutan Hari Kebangsaan dengan memasang Jalur Gemilang sekitar Pekan Durian Tunggal disamping mendengar permasalahan rakyat di akar umbi.
Menurut salah seorang peniaga, Ismail Dogol, tahun ini sambutan Hari Kebangsaan amat bermakna kerana semua rakyat bersatu hati melawan virus Covid-19 yang telah mengubah gaya hidup masyarakat seluruh dunia.
“Pengorbanan kita semua akhirnya dapat membantu negara mengekang penularan Covid-19, semua rakyat bertanggungjawab seperti juga sambutan Hari Kebangsaan kita semua harus bersama mengimarahkan semangat cinta negara.
“Pekan Durian Tunggal menjadi salah satu ‘pit stop’ bagi slot Info On Wheels ini dan pada pandangan saya program ini amat bagus kerana ia berbentuk santai dan berinfomasi,” ujarnya.
Penyelaras JAPERUN Durian Tunggal, Datuk Ismail Ibrahim Ali berkata, setiap tahun apabila tibanya Hari Kebangsaan rakyat sentiasa menanti program dari Jabatan Penerangan Malaysia.
“Alhamdulilah walaupun dalam suasana kita menghadapi Covid-19 kita tetap meraikannya namun dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibenarkan oleh kerajaan. Hari ini kita memasang Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam jiwa rakyat Malaysia,” katanya.
Turut hadir dalam program ini, Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hassan, Penghulu DUN Azizan Daud dan Setiausaha Japerun, Amirul Basiron.
-KN