Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Mayat Tanpa Identiti di Kawasan Terbiar

By 21 Julai 2020Disember 10th, 2020Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/IPD Gombak

RAWANG, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemui di kawasan terbiar bersebelahan Kelab Golf Tasik Puteri, Kundang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan tersebut daripada orang awam sekitar pukul 6 petang.

“Tempat kejadian merupakan kawasan terbiar (ladang kelapa sawit) dan jarak dari jalan besar ke tempat jumpa mayat lebih kurang 400 meter dalam ladang.

“Mangsa tiada dokumen diri namun berpakaian lengkap dengan pakaian baju dan seluar jeans serta singlet putih.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, dipercayai mangsa adalah warga asing dan dalam lingkungan umur 40an,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, terdapat kesan tetakan pada bahagian muka mangsa, kepala dan tapak tangan.

“Tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian dan pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi.

“Berdasarkan kepada keadaan mayat, dipercayai mangsa telah meninggal dunia lebih 48 jam,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan bedah siasat yang akan dijalankan hari ini.

“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polia Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222,” jelasnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda