Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Pelajar Tingkatan 4 dan 6 Sekolah Berasrama Kembali Bersekolah 15 Julai Ini

By 9 Julai 2020Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 9 Jul (Malaysiaaktif) – Pelajar tingkatan empat dan enam semester satu tahun 2020 di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan kembali bersekolah pada 15 Julai ini.

Dalam kenyataannya hari ini, KPM berkata keutamaan diberi kepada kumpulan pelajar tersebut bagi memastikan mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk persediaan menduduki peperiksaan awam pada 2021.

Bagi pelajar tingkatan satu, dua dan tiga di sekolah berasrama, KPM berkata mereka akan memulakan persekolahan pada 3 Ogos.

“Mereka akan meneruskan pembelajaran yang berasaskan home-based learning sehingga kembali semula ke sekolah nanti,” demikian menurut kenyataan itu.

KPM berkata keputusan itu terpakai kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Seni Malaysia (SSeM).

KPM sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sekolah bagi pelajar bukan kelas peperiksaan awam adalah secara berperingkat mulai 15 Julai 2020.

Dalam konteks sekolah berasrama, KPM berkata beberapa penambahbaikan telah dibuat ke atas tatacara pengurusan asrama berdasarkan perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

Penambahbaikan itu telah dimasukkan sebagai tambahan kepada Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah dan telah diluluskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan hari ini, katanya.

KPM juga tiada halangan untuk membenarkan pelajar pulang ke rumah bagi menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga berikutan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard sedia ada, demikian menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda