Laporan/foto: Zamri Abd Razak (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 9 Julai (Malaysiaaktif) – Seramai 1, 081 pelajar melahirkan rasa syukur di atas sumbangan berjumlah RM13.73 juta daripada Yayasan Terengganu melalui Program Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang sebagai persediaan bagi melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.
Menurut Pengarah Yayasan Terengganu Hishamudin Mamat, jumlah ini membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi peringkat persediaan dan ijazah pertama (Dalam dan Luar Negara), RM2.5 juta bagi Biasiswa Peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah serta RM1.26 juta bagi Biasiswa Persijilan ACCA (The Association of Chartered Certified Accountants).
“Ini menyuntik semangat agar pelajar dapat meneruskan pelajaran dalam bidang masing-masing untuk mencapai kecemerlangan agar terus memberikan kejayaan kepada negara,” katanya yang ditemui sempena Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu, di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu.
Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan menganggap pemberian biasiswa ini satu pelaburan bijak untuk generasi akan datang dan mereka yang terpilih sewajarnya memanfaatkan pemberian itu dengan sebaiknya.
Menurut Nor Amelia Mohd Yadi, biasiswa ini bagaikan satu rahmat buat dirinya dan berjanji membalas budi ini dengan belajar bersungguh-sungguh serta mengharumkan nama negara kelak.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan ini dan berjanji untuk menamatkan pelajaran dengan cemerlang serta bersama-sama membangunkan negara tercinta ini,” ujarnya yang akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di United Kingdom.
Pandangan yang sama juga dilontarkan oleh pelajar Mohammad Izzdihar Mohd Zamri yang akan mengikuti kursus kejuruteraan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Saya menjadikan biasiswa ini sebagai suntikan semangat untuk saya melakukan yang terbaik serta mengharumkan nama keluarga,” katanya.
Seramai 13 pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran di luar negara dan dalam negara hadir menerima biasiswa.
Ahmad Samsuri turut menyampaikan hadiah kecemerlangan untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2019 membabitkan peruntukan RM280,400 kepada 580 pelajar cemerlang.
-ii-