Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Pembangunan di Daerah Kuala Muda akan dilaksanakan sebagaimana diperbincangkan dalam sesi taklimat dan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (MMK) yang telah berlangsung sebelum ini.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md. Nor menjelaskan beberapa isu tempatan juga akan diselesaikan segera terutamanya isu tapak pelupusan sampah, penambakan semula pasir pantai di Pantai Merdeka, dan pemindahan kilang kitar semula bahan plastik yang menyebabkan pencemaran di bandar Sungai Petani.
“Antara fokus pembangunan yang dibincangkan merangkumi Projek Pengurusan Tapak Pelupusan Sampah Semeling, Kompleks Sukan Daerah Kuala Muda, Projek SP Sentral (stesen bas henti-henti, teksi), kawasan industri baharu, pembangunan Tapak Arkeologi Tamadun Kedah Tua Sungai Batu, kesan hakisan pantai, rancangan tebatan banjir, isu perumahan Flat Paya Nahu serta Pertubuhan Anak Yatim Daerah Kuala Muda.
“Beberapa isu berkaitan juga akan diselesaikan terutama isu tapak pelupusan sampah, penambakan semula pasir pantai di Pantai Merdeka, dan pemindahan kilang kitar semula bahan plastik yang menyebabkan pencemaran di bandar Sungai Petani,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
-SH