Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Sembilan Kes Baharu Libatkan Lima Kes Penularan dalam Negara

By 19 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 19 Jul (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 di Malaysia kembali mencatat satu angka berbanding 18 kes sebelumnya, dengan hanya sembilan kes dilaporkan membabitkan empat kes import dan lima kes penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia 8,764 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 96 kes.

“Empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

“Kes import itu adalah dari Indonesia sebanyak dua kes; Singapura satu kes dan Pakistan satu kes,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan daripada lima kes penularan dalam negara, satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan sebelum berlepas ke luar negara (China), dan beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Memperincikan kes penularan tempatan melibatkan rakyat Malaysia, Dr Noor Hisham berkata baki empat kes penularan di dalam negara melibatkan satu kes saringan kontak rapat dengan Kluster Mambong; satu kes saringan pra prosedur di Hospital Bau, Kuching; dan dua kes daripada Kluster Stutong, iaitu kluster baharu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tiada kes kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes maut akibat COVID-19, kekal 122 kes sejak 10 Julai.

Beliau berkata terdapat lima kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya dan discaj adalah sebanyak 8,546 kes manakala hanya satu kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda