Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Tumbuhan Akuatik Mampu Raih Pendapatan Lumayan

By 9 Julai 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Fasharina Kholil/Yusmila Yusof (Sik)

SIK, 8 Julai (Malaysiaaktif) – Seorang usahawan Melayu dari sini berjaya menjadi usahawan tumbuhan akuatik yang kebiasaannya dimonopoli usahawan bukan bumiputera.

Mohd Hafizi Ishak, 39, mula menceburi bidang akuakultur ini sejak tahun 2015, setelah didorong rasa minat serta merasakan bidang ini mempunyai potensi tersendiri, dia mula mengorak langkah menjadikan tumbuhan akuatik ini sebagai sumber pendapatan yang dikomersialkan.

“Antara faktor yang mendorong saya untuk menceburi bidang ini adalah kerana kekurangan usahawan bumiputera yang terlibat dalam bidang ini.

“Melihat kepada nilai dan potensi besar tumbuhan akuatik ini membuatkan saya nekad menghantar kertas kerja kepada Jabatan Perikanan dan syukur apabila kertas kerja tersebut diterima serta diluluskan,” jelas usahawan bimbingan Jabatan Perikanan Malaysia ini.

Hafizi (kanan) menunjukkan salah satu tumbuhan akuatik yang diusahakannya.

Hafizi (kanan) menunjukkan salah satu tumbuhan akuatik yang diusahakannya.

Sehingga kini Hafizi memiliki hampir 20 jenis tumbuhan akuatik yang mendapat permintaan tinggi para penggemar seni aturan tanaman dalam air atau dikenali sebagai aquaspace.

Mengakui pada awalnya, dia berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan termasuklah pasaran, namun begitu berkat kesabaran dan kesungguhannya membuahkan hasil apabila mendapat kepercayaan pengusaha-pengusaha kedai akuarium di utara tanahair.

“Pada setiap minggu kami membekalkan antara 1000 ke 1200 pokok untuk pasaran di seluruh kedai akuarium di sekitar negeri Kedah, Perlis dan sebahagian Pulau Pinang. Dalam seminggu saya mampu memperolehi pendapatan antara RM1500 hingga RM2000 dan permintaan terhadap tumbuhan air ini semakin meningkat.

“Permintaan paling tinggi adalah daripada jenis Red Cabomba dan juga Hydrella yang dijual sekitar RM3 sepokok,” katanya yang ditemui di tapak Projek Akuakultur Tumbuhan Akuatik dan Ikan Hiasan di Bendang Man, di sini baru-baru ini.

Salah satu kolam semaian milik Hafizi.

Salah satu kolam semaian milik Hafizi.

Hafizi turut mengakui, di sebalik kejayaannya hari ini dia turut mendapat sokongan serta menerima manfaat melalui Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani (IAT) di bawah bimbingan Jabatan Perikanan Negeri Kedah.

“Melalui geran tersebut saya mulakan perniagaan ini di samping turut mengeluarkan modal sendiri bagi memperluaskan lagi pasaran.

“Tumbuhan akuatik ini merupakan industri baharu yang perlu diterokai kerana mampu memberi pulangan yang lumayan serta nilai komersial yang tinggi untuk pasaran tempatan dan juga luar Negara,” katanya lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda