
Laporan/foto: Tengku Saifulah Tengku Mohd (Kuala Nerus)
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 100 orang asnaf di Kampung Banggol Tok Esah yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19 telah menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu, di sini baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tujuan dan objektif program ini adalah untuk menyantuni kumpulan masyarakat B40 dan golongan miskin yang terkesan dengan musibah yang melanda dunia sehingga kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Mohamad Al-Bakri bergambar bersama sebahagian penerima sumbangan YADIM.
“Program YADIM Peduli Musa’adah Pasca COVID-19 Terengganu ini merupakan program kedua selepas program yang sama di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembek, Manir,” katanya ketika ditemui.
Menurut Yang Dipertua YADIM Nasrudin Hassan, program ini adalah sebahagian daripada usahanya merakyatkan YADIM.
“Kita akan mengumpulkan NGO-NGO Islam seluruh negara dalam gerakan dakwah, YADIM adalah hak semua orang,” katanya semasa berucap di sini.
Penerima bantuan YADIM, Fie Omar bersyukur dengan bantuan yang diberikan kepadanya.
“Bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban kami. Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan beberapa bulan lalu, saya kehilangan sumber pendapatan kerana tidak dapat bekerja dan hanya bergantung kepada wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diberikan pihak kerajaan untuk menanggung keluarga,” katanya.
Seorang lagi penerima bantuan, Normala Shiha Mat Zain berterima kasih kepada YADIM kerana dengan sumbangan ini sangat membantu mengurangkan beban kewangan harian yang dihadapinya lebih-lebih lagi pada musim perayaan ini.

Normala Shiha Mat Zain berkata sumbangan yang diterima membantu memenuhi keperluan harian penduduk yang terjejas.
“Dengan adanya sumbangan ini, dapatlah membantu memenuhi keperluan harian penduduk di sini kerana ramai penduduk terjejas akibat wabak COVID-19 sebelum ini,” ujarnya.
-ii-