Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pengusaha Produk Sarung Tangan Wanita Pasang Hasrat Miliki Kilang Sendiri

By 6 Ogos 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Zurina Saad/Othman Ariff (Yan)

YAN, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Bermodalkan hanya RM50 dan dua buah mesin jahit pada permulaannya, kini pendapatannya mampu mencecah RM150,000 sebulan setelah beliau mula menghasilkan produk sarung tangan wanita sejak tujuh tahun yang lalu.

Nur Izzati Abd. Ghani, 28, mula melebarkan sayapnya setelah mendapati sarung tangan yang berada di pasaran tidak menepati citarasa wanita muslimah masa kini seperti terlalu ketat dan tidak mengikut saiz yang dikehendaki.

“Bertitik tolak dari situlah saya mula menghasilkan sendiri sarung tangan yang lebih selesa, sejuk dan mengikut fesyen terkini di kedai sendiri di Sungai Limau Dalam,” katanya yang ditemui di sini baru-baru ini.

Izzati sentiasa memastikan kualiti sarung tangannya pada tahap terbaik.

Izzati sentiasa memastikan kualiti sarung tangannya pada tahap terbaik.

Menurut pemilik NurBella Empire Sdn. Bhd. ini beliau kini sudah mampu tersenyum lebar apabila produk yang dihasilkan olehnya kini sudah menembusi pasaran antarabangsa seperti Singapura, Dubai dan Abu Dhabi selain turut menguasai pasaran tempatan secara dalam talian.

“Saya merasakan lebih mudah bagi saya memasarkan produk saya ini secara dalam talian seperti Instagram dan Facebook kerana masyarakat kini semakin tertarik dengan pembelian secara dalam talian tanpa perlu keluar rumah.

“Selain itu, saya menggunakan bahan yang berkualiti tinggi seperti Premium Lycra Ohana yang diimport dari Korea dan China yang bukan sahaja menghasilkan rekaan yang terkini tetapi juga patuh syariah,” katanya.

Izzati bersama pekerjanya sedang menghasilkan pola sarung tangan.

Izzati bersama pekerjanya sedang menghasilkan pola sarung tangan.

Izzati, ibu kepada dua cahaya mata ini turut bersyukur kerana sarung tangan keluaran syarikatnya turut menjadi pilihan selebriti tempatan untuk digayakan di layar perak mahupun kegunaan seharian.

“Harapan saya suatu hari nanti, produk syarikat saya ini dapat menguasai pasaran antarabangsa serta berhasrat untuk mempunyai kilang sendiri suatu hari nanti,” ujarnya.

Selain itu, perniagaan yang diusahakannya ini turut menjadi lubuk rezeki kepada golongan ibu tunggal dan anak-anak muda tempatan yang kini berjumlah 34 orang yang kesemuanya adalah golongan wanita.

“Pada peringkat awal, ada dalam kalangan pekerja pada asalnya tidak mempunyai kemahiran menjahit, namun mereka dilatih terlebih dahulu bagi membiasakan mereka dengan kemahiran tersebut,” katanya lagi.

Bagi Kalsom Che Pa, 56, seorang ibu tunggal yang merupakan pekerja setianya sejak tujuh tahun lalu, beliau amat bersyukur kerana diberi peluang untuk bekerja di syarikat tersebut yang merupakan punca rezeki keluarganya sejak kematian suami lapan tahun yang lalu.

-SH

Tinggalkan komen anda