
Laporan/foto: Tengku Saifulah Tengku Mohd (Kuala Nerus)
GONG DATUK, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Kempen Kibar Jalur Gemilang bukan sahaja penting untuk mengukuhkan perpaduan, tetapi turut menjadi landasan penting untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Semangat patriotik kali ini terus disemarakkan lagi dengan aktiviti turun padang oleh pemimpin untuk mengagihkan Jalur Gemilang kepada masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepuh Hishamuddin Abdul Karim, berkata aktiviti pengagihan Jalur Gemilang yang dilaksanakan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang betapa pentingnya sebagai rakyat Malaysia untuk mengibarkan Jalur Gemilang tanpa mengira masa, malahan tindakan ini seharusnya lebih meriah menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
“Terdapat beberapa perancangan lagi yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat bertujuan memberi pemahaman yang lebih jelas kepada masyarakat tentang konsep kemerdekaan antaranya forum atas talian dan aktiviti ceramah di masjid-masjid sekitar,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Menurut penduduk, Mohd Sidek Abdullah, adalah amat penting untuk setiap warganegara mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan, malah lebih baik sekiranya dapat berbuat demikian sepanjang masa.
“Semangat cintakan negara perlu ditanam dalam jiwa seluruh rakyat negara ini bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran terus kekal. Jalur Gemilang merupakan simbol kebanggaan dan kemakmuran yang telah kita capai selama ini,” katanya.
Selain aktiviti pengagihan Jalur Gemilang, penunggang motosikal juga berpeluang memperoleh minyak petrol percuma yang disumbangkan sendiri oleh Pusat Khidmat dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh bertujuan bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah di sini.
-ii-