Laporan/foto: Norlydiana Ishak/Unit Fotografi JaPen (Putrajaya)
PAGOH, 8 Ogos (Malaysiaaktif) – Usaha paling kukuh telah diambil dalam menangani penularan wabak COVID-19 iaitu dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berjaya melandaikan lengkung jangkitan wabak ini.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata setelah 144 hari sejak PKP dilaksanakan dan 60 hari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan, semakin ramai dalam kalangan masyarakat didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Sikap segelintir masyarakat Malaysia yang semakin alpa untuk mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menggunakan pensanitasi tangan terutama ketika berada di kawasan awam yang sesak telah meningkatkan risiko penularan dan mengundang gelombang baharu jangkitan.
“Oleh itu, kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan Kempen Pembudayaan Norma Baharu bagi meningkatkan kesedaran dan
memperkasa rakyat untuk melindungi diri, keluarga dan komuniti dalam usaha membantu petugas barisan hadapan memerangi jangkitan COVID-19,” katanya yang ditemui sempena pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu, di sini hari ini.
Ismail memaklumkan, program-program di bawah Kempen Pembudayaan Norma Baharu akan dilaksanakan oleh semua kementerian di peringkat persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri juga akan turut terlibat bagi menjayakan kempen ini.
“Kempen ini akan melibatkan semua lapisan kepimpinan termasuk penghulu, ketua kampung, temenggong, pemancha, kapitan, tuai rumah, imam dan ahli jawatan kuasa masjid, tok batin dan ketua-ketua agama.
“Pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat harus bersama-sama meningkatkan kawalan kendiri bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti serta memberi sokongan kepada para petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi COVID-19,” ujarnya.
Kempen ini yang menyasarkan penyebaran maklumat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diteruskan sehingga 31 Disember 2020 kepada segenap lapisan masyarakat yang melibatkan pelbagai platform seperti media massa, media sosial, papan iklan, jerayawara, program keagamaan dan penerbitan poster.