Skip to main content
HomePutrajaya

100 Kes Positif COVID-19 – KP Kesihatan

By 9 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 9 Sep (Malaysiaaktif) – Kes baharu COVID-19 meningkat kepada tiga angka semalam, iaitu 100 kes berbanding 62 kes semalam menjadikan jumlah kes positif kumulatif di Malaysia sebanyak 9,559 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 100 kes baharu itu, 85 kes merupakan penularan dalam negara melibatkan 55 warganegara dan 30 bukan warganegara.

Ia melibatkan 62 kes di Sabah daripada kluster Benteng LD, 22 kes di Kedah melibatkan kluster Sungai di Kedah dan satu kes Perlis juga melibatkan kluster Sungai.

Lima belas kes lagi merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara iaitu India, Indonesia, Pakistan dan Filipina, melibatkan dua warganegara dan 13 bukan warganegara.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 12 kes telah pulih semalam manakala terdapat tujuh kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian direkodkan semalam.

Mengulas mengenai kluster Benteng LD yang melibatkan daerah Lahad Datu dan Tawau, Sabah, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 431 individu disaring bagi daerah Lahad Datu dengan 87 kes dikesan positif, manakala 1,579 individu disaring di Tawau dengan 41 kes adalah positif.

“Bagi kluster Sungai, seramai 470 individu disaring di Kedah dengan 25 kes dikesan positif, empat individu disaring di Perlis dengan satu dikesan positif dan lima individu disaring di Pulau Pinang dengan tiada kes dikesan positif buat masa ini,” katanya dalam sidang media perkembangan berkaitan COVID-19 semalam.

Sementara bagi kluster Telaga pula, seramai 4,410 individu disaring di Kedah dengan 10 kes dikesan positif manakala 46 individu disaring di Pulau Pinang dengan tiada kes dikesan positif setakat ini.

Sementara itu, KKM dalam laman Twitter rasminya memaklumkan daerah Lahad Datu kini berada di zon merah setelah bilangan kes meningkat kepada 87. Pada masa yang sama daerah Tawau (Sabah) serta Kota Setar (Kedah) mencatatkan 30 kes dan ke atas, manakala Kelantan, Terengganu, Labuan, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Negeri Sembilan dan Johor kekal sebagai zon hijau.

Dalam sidang media itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 29,330 pengembara telah ditempatkan di stesen kuarantin setelah tiba di Malaysia sejak 24 Julai hingga semalam dengan 237 kes positif COVID-19 telah dikesan dan kebanyakan kes adalah dari India (42 kes), Filipina (27 kes) dan Indonesia (26 kes).

“Kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif dengan memperketatkan kawalan sempadan Malaysia bagi negara-negara berisiko tinggi terhadap COVID-19 mulai 7 Sept 2020.

“Terkini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah memperketatkan kemasukan ke Malaysia bagi 23 buah negara. Sekatan ini tertakluk kepada Pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang bagi warganegara dari negara-negara yang mencatatkan kumulatif kes positif COVID-19 melebihi 150,000 kes,” katanya.

Langkah itu, menurut Dr Noor Hisham, adalah sebagai usaha memperketat dan mempertingkatkan kawalan sempadan dan Kementerian Kesihatan akan meneruskan penilaian risiko berdasarkan situasi semasa COVID-19 di seluruh dunia dengan senarai terkini negara yang diperketatkan kemasukan akan diumum kerajaan dari semasa ke semasa.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda