Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

24 Kes Baharu, 18 Kes Penularan Tempatan dan Enam Kes Import

By 10 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 10 Sep (Malaysiaaktif) – Sebanyak 24 kes baharu dicatatkan melibatkan 18 kes penularan tempatan dan enam kes import, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes baharu tertinggi dilaporkan dari Kluster Sungai, Kedah melibatkan 13 kes manakala dua kes dari Kluster Benteng, Sabah.

“Daripada 18 kes penularan di dalam negara, 16 melibatkan warganegara dan dua adalah bukan warganegara,” katanya.

Kedah mencatatkan 16 kes baharu dengan 13 kes daripada Kluster Sungai; satu kes daripada Kluster Tawar; satu kes daripada Kluster Telaga; dan satu kes saringan bergejala di Hospital Sultanah Bahiyah manakala Sabah merekodkan dua kes daripada Kluster Benteng.

Enam kes merupakan kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

Katanya, enam kes import tersebut adalah dari Bangladesh (dua kes: satu kes di Negeri Sembilan, satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); China (satu kes di Sabah); Indonesia (satu kes di Sabah); Singapura (satu kes di Sarawak); dan Korea Selatan (satu kes di Selangor).

“Kes import melibatkan bukan warganegara telah memasuki Malaysia sebelum pelaksanaan sekatan kemasukan yang mula berkuat kuasa pada 7 Sept.

“Dua kes dari Bangladesh tiba di Malaysia pada 6 Sept dan telah disaring pada hari yang sama manakala satu kes dari China tiba di Malaysia pada 5 Sept dan disaring pada 6 Sept,” katanya.

Beliau menjelaskan keputusan ujian saringan individu terlibat dilaporkan positif COVID-19 semalam serta beberapa kes import dilaporkan kelmarin.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan hasil siasatan mendapati kes positif dalam kalangan petugas kesihatan KKM kebanyakan berpunca daripada penularan dalam kalangan petugas itu sendiri.

Katanya, ini menyumbang kepada 53 peratus daripada keseluruhan kes melibatkan petugas kesihatan, jangkitan daripada komuniti (22 peratus), manakala jangkitan semasa pengurusan pesakit yang belum diketahui status COVID-19 sebanyak 17 peratus.

“Setakat ini, tiada petugas kesihatan KKM yang dijangkiti COVID-19 semasa pengurusan pesakit disahkan COVID-19 di wad COVID-19 atau di ICU,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda