Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

RM432,000 untuk Orang Asli Cameron Highlands

By 9 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/ foto: Rose Rasidi/ Intan Saziana (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 9 Sep (Malaysiaaktif) – “Sebanyak RM432,000 diperuntukkan oleh kerajaan bagi menambah baik pembangunan infrastruktur penduduk Orang Asli di Cameron Highlands,” ujar Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor ketika merasmikan Program Merdeka@Komuniti Peringkat Daerah Cameron Highlands, di Kampung Orang Asli Leryar, Isnin lalu.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor (kanan) bersama Pengarah Penerangan Negeri Pahang, Salmun Mustafa menyerahkan Jalur Gemilang, kepada Batin.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor (kanan) bersama Pengarah Penerangan Negeri Pahang, Salmun Mustafa menyerahkan Jalur Gemilang, kepada Batin.

Ramli berkata, peruntukan bagi pembaikan dan pembangunan infrastuktur seperti pembinaan balai raya, pembaikan jalan-jalan kampung yang mengalami kerosakan teruk dan sebagainya akan dibantu kerajaan dalam masa terdekat.

“Proses pembangunan infrastruktur ini akan dilaksanakan pada tahun ini juga bagi membantu penduduk mendapat keselesaan dan kemudahan yang sepatutnya. Ini adalah usaha murni kerajaan dalam membantu penduduk Orang Asli melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang akan ditadbir urus Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.

“Malah, para peniaga dalam kalangan Orang Asli juga akan dibantu bagi meningkatkan taraf hidup dan pendapatan penduduk. Premis perniagaan yang usang akan dibaiki dan dibantu agar masyarakat Orang Asli dapat meneruskan bidang perniagaan dan membantu penduduk setempat,” ujarnya lagi.

Beliau yang hadir merasmikan Program Merdeka@Komuniti anjuran Pejabat Penerangan Daerah Cameron Highlands juga turut menyumbang pelitup muka dan ‘hand sanitizer’ dalam membantu penduduk mencegah jangkitan Covid-19.

“Jalur Gemilang merupakan satu simbolik kepada kemerdekaan negara Malaysia. Ini menandakan bahawa kita bebas daripada penjajah, di mana kemerdekaan ini tidak diperoleh dengan cara yang mudah dan berharap generasi muda khususnya masyarakat Orang Asli sendiri supaya tidak lalai dan alpa dengan keselesaan yang dikecapi pada masa kini,” ujarnya dalam ucapan perasmian yang turut mengedarkan Jalur Gemilang kepada 27 Batin-Batin di seluruh Daerah Cameron Highlands.

Persembahan patriotik oleh bekas komando polis, Ismail Ariffin juga menekankan tentang erti kemerdekaan kepada masyarakat Orang Asli dan berkongsi pengalaman dalam memperjuangkan kemerdekaan serta menyeru kepada masyarat Orang Asli sendiri untuk menyemarakkan semangat cinta akan negara.

“Generasi sekarang hidup dalam keselesaan. Keselesaan datangnya daripada pengorbanan wira-wira terdahulu menggadai nyawa berkorban demi negara Malaysia tercinta. Maka menjadi tanggungjawab kita untuk kekal menyemarakkan Bulan Kebangsaan agar pengorbanan mencapai kemerdekaan sentiasa dikenang oleh rakyat Malaysia,” kata Ismail.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor menyampaikan ucapan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor menyampaikan ucapan.

-KN

Tinggalkan komen anda