Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

31 Kes Baharu COVID-19, Tiada Kematian

By 15 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Sebanyak 31 kes baharu COVID-19 dilaporkan membabitkan 28 kes penularan dalam negara dan tiga kes import, menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 9,946, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 28 kes penularan tempatan, 19 kes adalah warga Malaysia manakala sembilan lagi bukan warganegara, dengan 23 kes di Sabah, empat di Negeri Sembilan melibatkan Kluster Bunga dan satu kes di Kluster Sungai, Kedah.

“Di Sabah, 17 kes daripada Kluster Benteng Lahad Datu (LD) dengan lapan kes melibatkan bukan warganegara, satu kes saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai, satu kes saringan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Lahad Datu.

“Satu kes saringan pra pembedahan di Hospital Queen Kudat, satu kes saringan rujukan ke Hospital Tawau, satu kes saringan kontak rapat bagi kes ke-9,454 iaitu anak kepada kes ke-9,454, dan satu kes saringan tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 semalam.

Bagi tiga kes import pula, Dr Noor Hisham berkata kesemuanya adalah dari Indonesia melibatkan dua kes warga Malaysia di Sabah dan satu kes warga Indonesia di Kuala Lumpur, yang memasuki negara pada 31 Ogos lepas.

Jelas Dr Noor Hisham, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 615 kes, manakala terdapat tujuh kes pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 9,203 (92.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Sehingga kini, terdapat 11 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan lima kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu, kekal 128 kes.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda