
Laporan/foto: Taufiq Firdaus Md Nor (Besut)/Safiahanis Amiruddin (Kuala Terengganu)
BESUT, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Penyalahgunaan dadah bukanlah satu isu yang asing di negara kita mahupun di seluruh dunia.
Pelbagai usaha dan pendekatan yang telah diambil oleh pelbagai pihak dalam mencari penyelesaian membasmi masalah ini.
Pejabat Penerangan Daerah Besut mengambil inisiatif mengadakan Program Merdeka@Komuniti bersama-sama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Besut sebagai usaha memberi pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah kepada warga Hulu Besut.

Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Saharrudin Mohamed (bertopi) bersama-sama Ketua Pegawai AADK Besut, Noor Hafizza Mat Zin (kiri) menyanyikan lagu Jalur Gemilang semasa program berlangsung.
Ketua pegawai AADK Daerah Besut, Noor Hafizza Mat Zin menyarankan ibubapa supaya menggunakan kuasa ‘veto’ yang mereka miliki dalam mendidik anak-anak supaya generasi akan datang yang bakal mencorakkan masa depan negara tidak terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah selain menggalakkan ibubapa membawa anak-anak remaja turut serta dalam program sebegini bagi memberi pendedahan awal keburukan sekiranya terlibat dengan najis dadah.
“Pencegahan yang sebenarnya bermula daripada rumah. Ibubapa sebagai orang yang dekat dan mempunyai hak terhadap anak-anak tidak boleh mengharapkan guru-guru mahupun orang lain untuk mendidik anak-anak mengenai bahaya penyalahgunaan dadah,” kata Noor Hafizza.

Penyerahan Jalur Gemilang Sebagai Simbolik Sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 Kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Lubuk Kawah.
“Program-program sebegini dianjurkan bukan sahaja bermatlamatkan untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat malah memberi maklumat tentang pencegahan penyalahgunaan dadah dalam erti kata lain ‘memerdekakan’ diri daripada penyalahgunaan dadah,” tambahnya dengan penuh bersemangat.
Ikon AADK Besut, Tuan Haji Shaari Awang telah meyampaikan ceramah ‘Sifar Najis Dadah’ kepada semua jemputan yang hadir dalam usaha memberi maklumat dan informasi berkenaan kesan buruk sekiranya terlibat dengan penyalahgunaan dadah yang bukan sahaja memberi impak kepada individu terlibat malahan kepada keluarga, komuniti dan negara.

Pengibaran Jalur Gemilang dan Nyanyian Lagu Patriotik Oleh Warga Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lubuk Kawah.
“Usaha mengekang penyalahgunaan dadah memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuklah ibubapa, pihak kerajaan menerusi institusi pendidikan dan penguatkuasaan dan masyarakat awam supaya isu ini tidak menjadi ancaman besar kepada negara,” katanya semasa menyampaikan ceramah.
Program yang dilaksanakan di Pekarangan Masjid Lubuk Kawah, Hulu Besut baru-baru ini mendapat penyertaan oleh semua lapisan masyarakat daripada kanak-kanak sehingga golongan veteran meskipun berbeza fahaman politik.
Turut hadir Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Saharrudin Mohamed bagi merasmikan program dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lubuk Kawah, Che Harun Kamariah Abdullah.