Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Saifuddin Seru Masyarakat Sambut Hari Malaysia di Media Sosial

By 8 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Dayana Bahazelan/ Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 8 Sep (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Dato’ Saifuddin Abdullah meluangkan masa hadir ke Majlis Aspirasi Merdeka IM Malaysia di Kompleks Dagangan Mahkota di sini, Sabtu lalu.

Dato Saifuddin Abdullah melakukan gimik pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat Books4U.

Dato Saifuddin Abdullah melakukan gimik pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat Books4U.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan pada majlis tersebut antaranya penukaran minyak hitam percuma, pertandingan e-sport, saringan kesihatan dan derma darah serta pameran agensi kerajaan dan taklimat kerjaya.

Dato’ Saifuddin turut melakukan gimik pelancaran bagi Program Tanggungjawab Sosial Korporat “Books4u” pada majlis tersebut dan beliau turut menyerahkan sumbangan 300 naskhah buku dari Pusat Sumber KKMM kepada sekolah-sekolah di Indera Mahkota iaitu SMK Baging, SMK Sultanah Hajah Kalsom dan SMK Semambu bagi menggalakkan budaya membaca di kalangan para pelajar.

Penyerahan bendera turut diberikan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah kepada 13 Persatuan Belia antaranya Majlis Belia Daerah Kuantan, Majis Belia Felda Wilayah Kuantan, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Cawangan Paya Besar, Kelab-kelab Belia Malaysia Kawasan Kuantan, Angkatan Belia Islam Malaysia Daerah Kuantan dan lain-lain.

“Walaupun sekarang kita tidak dapat berarak semasa sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kita boleh berarak di media sosial dengan cara masing-masing bagi menyemarakkan hari Malaysia yang akan tiba tidak lama lagi,” kata Saifuddin ketika sidang media pada Majlis Aspirasi Merdeka IM Malaysia.

Saifuddin pada program tersebut turut menyeru supaya masyarakat meneruskan kempen tanda pagar #MomenNegaraku apabila memuat naik gambar atau video di media sosial bagi menggelorakan semangat cintakan negara melalui platform media sosial.

Mengulas mengenai sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, Saifuddin mengesahkan Sibu, Sarawak dipilih sebagai lokasi sambutan pada tahun ini dan sejumlah 1,000 orang dijangka menghadiri sambutan itu dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal ketika negara masih berhadapan wabak pandemik Covid-19.

-KN

Tinggalkan komen anda