Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MCPF Cadang Kerajaan Tubuh Jawatankuasa Tangani Jenayah Siber

By 29 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 29 Sep (Malaysiaaktif) – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan supaya kerajaan pusat menubuhkan sebuah Jawatankuasa Jenayah Siber bagi menangani kegiatan jenayah itu, secara lebih menyeluruh.

Naib Pengerusi Kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata jawatankuasa itu akan melibatkan beberapa agensi keselamatan seperti polis, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Bank Negara, syarikat telekomunikasi dan agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi berbincang, memantau serta mengenal pasti langkah-langkah berkesan dalam membanteras jenayah tersebut.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyaksikan penurunan kepada trend indeks jenayah di negara, namun apa yang merisaukan MCPF ialah jenayah berkaitan siber didapati meningkat,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada program Sesi Pendengaran MCPF Pulau Pinang, hari ini.

Lee berkata indeks jenayah siber pada tahun 2018 mencatatkan sebanyak 10,754 kes dan meningkat kepada 11,875 kes pada 2019.

“Jumlah kerugian yang dicatatkan pada tahun 2019 dan tahun 2020 masing-masing adalah sebanyak RM305 juta dan RM247 juta.

“Malah, mengikut angka KKMM, jenayah siber ketika PKP iaitu bermula 18 Mac sehingga 30 Jun telah meningkat sebanyak 91.37 peratus,” katanya menambah angka daripada NACSA pula menunjukkan jenayah siber meningkat sebanyak 80 peratus pada Mac hingga Jun, 2019.

“Justeru, kertas kerja cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut dijangka akan siap dalam masa terdekat dan akan diserahkan kepada  kementerian dan agensi bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, Lee berkata MCPF akan memberi sokongan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan terhadap mereka yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) ketika negara berdepan pandemik COVID-19 terutamanya membabitkan aktiviti kelab malam.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda