Skip to main content
HomePutrajaya

PRN Sabah: Polis Terima Maklumat Kemasukan Rakyat Negara Jiran Buat Kekacauan Pada Hari Pengundian

By 21 September 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Polis mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 Sept ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.

“Sempena PRN Sabah kita dapat maklumat yang mengatakan akan berlaku kemasukan besar-besaran pendatang dari negara jiran untuk datang ke Sabah membuat kekacauan.

“Ini kita kena halang supaya pilihan raya berjalan dengan lancar dan tidak mengganggu-gugat serta ketenteraman dan keselamatan kita terjamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini semalam.

Bagaimanapun, ketika ditanya pemberita beliau enggan mendedahkan sumber risikan, jumlah yang dijangka terbabit dan jenis kekacauan yang akan ditimbulkan.

“Dari negara jiran, tidak payah spesifik lah,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut soalan pemberita berkaitan perkara tersebut.

Hazani berkata pihak polis dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Angkatan Tentera Malaysia dan pihak berkuasa lain akan memperketatkan kawalan di sempadan antara lain dengan menggerakkan aset-aset yang sedia ada ke tahap maksimum.

Beliau berkata Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) telah mengerakkan aset pada jumlah maksimum dan juga rondaan di setiap sempadan laut serta darat di kawasan pantai timur Sabah.

“Sebanyak 96 pos kawalan di sempadan laut dan darat telah diletak dalam keadaan bersedia dan sedang aktif melakukan rondaan bagi mengesan ‘lorong tikus’ yang terdapat di sepanjang sempadan negara.

“Kita juga takut mereka akan membawa penyakit COVID-19, penyakit ini telah merebak dengan cepatnya khususnya di kawasan pantai timur Sabah iaitu Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pengundian awal 22 Sept ini akan berjalan seperti biasa dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penyakit itu walaupun terdapat peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.

Dalam perkembangan terkini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 52 kes positif COVID-19 yang dilaporkan di negara ini dalam tempoh 24 jam lalu, 36 kes dilaporkan di Sabah.

Setakat kelmarin, terdapat satu kes positif di Sandakan, tiga bagi kluster Bakau di Semporna, 399 kes di Tawau dan 551 kes positif kluster Benteng Lahad Datu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda