Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

SPRM Santuni Media Zon Selatan

By 5 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Haniza Harun/ Nur Fariza Farnoh (Melaka)

MELAKA, 5 Sep (Malaysiaaktif) – Memahami kepentingan media bagi menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan program dialog Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Zon Selatan di Hotel Hatten Melaka di sini, Rabu lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Malaysia, Datuk Seri Azam Baki, berkata peranan media amat penting bagi memastikan masyarakat berwaspada dengan ancaman rasuah dan kesannya terhadap agama, bangsa dan negara.

Datuk Seri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM  menyampaikan ucapan.

Datuk Seri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM menyampaikan ucapan.

“Media perlu menyebarkan secara meluas mesej-mesej mengenai prinsip moral yang baik, etika, budaya kerja, penderitaan dan kesengsaraan kerana perbuatan rasuah, penerangan dan pendidikan undang-undang rasuah. Kandungan mesej dalam media dapat meningkatkan kesan apabila mesej itu menawarkan maklumat yang unik, penting dan memenuhi kepentingan khalayak.

“Melihat trend pada hari ini, peranan media massa telah berubah. Sebagai contoh, peranan surat khabar atau televisyen bukanlah sebagai penyalur maklumat nombor satu seperti satu ketika dahulu. Oleh itu, semua pihak perlu memastikan sumber maklumat mempunyai integriti dan disalurkan melalui media yang boleh dipercayai, berwibawa dan berintegriti,” ujarnya.

Beliau berharap agar media memahami bahawa bukan semua perkara boleh didedahkan terutamanya berkaitan dengan siasatan SPRM. Kefahaman dan hala tuju antara media dan SPRM perlu seiring agar tidak menimbulkan permasalahan pada masa akan datang.

Hadir sama menjayakan program ini ialah Pengarah Siasatan SPRM, Dato’ Norazlan Mohd Razali dan pengarah-pengarah SPRM Zon Selatan.

-KN

Tinggalkan komen anda