Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Tanggungjawab Umat Islam, Memuliakan dan Memelihara al-Quran

By 14 September 2020Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rabiaton Adawiah Ahmed Tajudin/Faiza Hashim (Johor Bahru)

PASIR GUDANG, 14 Sept (Malaysiaaktif) – Memuliakan dan memelihara al-Quran adalah tanggungjawab semua umat Islam tanpa mengira darjat, namun begitu timbul persoalan adakah naskah al-Quran yang telah rosak akan dibiarkan atau dibuang begitu sahaja.

Menurut Pengarah Kolej Komuniti Pasir Gudang Fadzillah Mohd Yusof atas dasar tanggungjawab, misi memperkasakan komuniti melalui platform Pembelajaran Islam Sepanjang Hayat (PISH) ini dijayakan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Negeri Johor Kementerian Dalam Negeri (KDN), Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan pihak pengurusan Masjid Taman Scientex Pasir Gudang.

“Seminar Pemuliaan al-Quran dan Pelupusan Peringkat Negeri Johor 2020 ini merupakan platform permulaan buat Kolej Komuniti Pasir Gudang sebagai hub pengumpulan teks ayat-ayat suci al-Quran dan bahan cetak yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran seperti Surah Yasin.

“Program seumpama ini akan diteruskan dengan pelaksanaan Pengumpulan Teks Ayat-Ayat Suci al-Quran dan bahan cetakan seperti surah Yasin yang rosak, koyak dan tidak boleh dibaca pada 27 September 2020 di Kolej Komuniti Pasir Gudang,” katanya lagi ketika menyampaikan ucapan pada program tersebut, di sini semalam.

Fadzillah menyeru para peserta untuk bersama-sama menghebahkan dan memanjangkan perkara ini kepada organisasi dan komuniti setempat yang memiliki kitab-kitab al-Quran yang telah rosak dan usang agar menghantarkannya ke kolej tersebut pada tarikh yang telah ditetapkan.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Mohd Nawardi Saad dalam ucapan perasmiannya berkata, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN merupakan satu badan yang bertanggungjawab untuk mengawal selia teks al-Quran dari sudut pelesenan, pencetakan, penerbitan, pengedaran dan pengimportan teks al-Quran di mana ia merujuk di bawah Akta 326, Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986.

“Saya berharap segala ilmu dan maklumat yang dikongsikan oleh para penceramah kita pada program ini berkenaan pengenalan Rasm Uthmani dan Akta Percetakan Teks al-Quran sedikit sebanyak boleh memberi manfaat dan membantu kita dalam memelihara dan memartabatkan penerbitan teks al-Quran di Malaysia.

“Cop perakuan Lembaga Pengawalan serta Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri dalam mana-mana muka surat depan atau belakang yang bercetak pada kitab al-Quran di Malaysia pula merupakan tanda tasheh (disemak) yang menunjukkan bahawa kitab al-Quran itu boleh diguna pakai,”ujarnya lagi.

Tambah beliau, kesedaran yang diwujudkan ini merupakan titik permulaan bagi masyarakat muslim agar bertanggungjawab dan bersama-sama membantu dari sudut pemeliharaan mashaf teks al-Quran di Malaysia.

Turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri Datuk Noh Gadut, Ketua Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Negeri Johor Ahmad Hanif Naim dan Pengerusi Masjid Taman Scientex Mohamad Sapuan Supaat.

-NI-

Tinggalkan komen anda