Laporan/foto: Shuhaimi Ahmad (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 21 Okt (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Terengganu akan memperkenalkan satu lagi produk pelancongan berkonsepkan Islam dengan menjejak kembali sejarah peninggalan ulama-ulama tersohor negeri ini yang terdapat di sepanjang pesisir Sungai Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri Ariffin Deraman, berkata kerajaan telah mengenal pasti beberapa kawasan yang pernah didiami oleh ulama tersohor di sepanjang Sungai Terengganu bermula di Taman Tamadun Islam hingga ke pekan Kuala Berang di Hulu Terengganu.
Katanya, antara ulama serta pejuang yang menentang penjajahan Inggeris sekitar 1920an, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong pernah tinggal di Kampung Beladau Kolam dekat sini dan kampung itu antara yang telah dikenalpasti sebagai destinasi jejak ulama.
Beliau berkata, masih terdapat surau serta rumah Tuan Guru Haji Abdul Rahman di situ dan yang lebih menarik ialah geran pemilikan tanah masih tertulis nama beliau sebagai pemilik.
Haji Abdul Rahman dihukum oleh Inggeris kerana penentangan beliau terhadap pemerintah dan dibuang negeri ke Mekah. Beliau meninggal dunia di Mekah ketika masih dalam pembuangan.
“Kita telah mengadakan perbincangan dengan Muzium Negeri Terengganu dan mereka yang dekat dengan Allahyarham bagi membaik pulih dan memelihara rumah serta surau milik beliau,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan menjejaki lokasi sejarah ulama tersohor Terengganu di sepanjang Sungai Terengganu, semalam.
Ariffin menambah, pihaknya turut mengenal pasti makam ulama terkenal iaitu Syeikh Abdul Malek atau lebih dikenali Tokku Pulau Manis yang terletak di Kampung Pulau Manis dekat sini sebagai satu lagi produk pelancongan sejarah Islam Terengganu.
Katanya, kawasan berhampiran makam Tokku Pulau Manis iaitu Kampung Banggol Cempedak dan Kalang Warisan sudah dibangunkan sebagai kawasan pelancongan oleh penduduk kampung dan situasi ini secara tidak langsung membantu kerajaan dalam usaha menggalakkan industri pelancongan di negeri ini.
Beliau berkata, semua destinasi peninggalan sejarah ulama itu boleh diakses menggunakan bot dan pihaknya sedang berbincang dengan pengurusan Taman Tamadun Islam bagi menyediakan perkhidmatan bot dan kemudahan lain kepada pelancong.
“Selain itu terdapat juga perkhidmatan bot yang diusahakan secara persendirian dan secara langsung ianya dapat menjana pendapatan kepada penduduk setempat,” katanya.
-ii-