Skip to main content
HomePutrajaya

Perkeso Kenal Pasti 30 Kes Tuntutan Palsu Program Subsidi Upah

By 9 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 9 Okt (Malaysiaaktif) – Setakat ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengenal pasti 30 kes melibatkan tuntutan palsu dan salah guna dana Program Subsidi Upah (PSU) sejak program diperkenalkan Mac lalu, kata Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata kes yang dikenal pasti membabitkan syarikat, antaranya di Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kita (Perkeso) memandang serius dan ambil perhatian akan perkara ini serta bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan undang-undang.

“Daripada 30 kes itu, Kedah mempunyai lapan kes, Selangor (6), Kuala Lumpur (5), Perak (3), Johor dan Pahang masing-masing dua kes manakala Kelantan, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang masing-masing satu kes. Kita jangkakan banyak lagi kes bakal dikenal pasti,” katanya pada sidang media di Menara Perkeso hari ini.

Justeru, Mohammed Azman menggesa majikan yang telah membuat tuntutan palsu atau menghantar maklumat tidak tepat tampil secara sukarela atau menghubungi Perkeso bagi memulangkan semula dana yang diterima seperti PSU, Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP).

Sejak pelancaran PSU, sebanyak 281 aduan dikemukakan pekerja mengenai bayaran insentif yang dimohon majikan tidak diserahkan kepada pekerja.

Beliau turut mengesahkan kenyataan SPRM 7 Okt lalu berhubung seorang pengarah urusan sebuah syarikat di Selangor ditahan bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun mengandungi butiran palsu untuk mendapatkan bantuan subsidi upah PSU.

“Kes ini melibatkan 185 pekerja dan bayaran sebanyak RM415,000. Kes ini antara 30 kes yang kita kenal pasti,” katanya.

Hingga kini, kerajaan membayar kira-kira RM11.8 bilion kepada majikan di bawah insentif subsidi upah itu.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda