Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Muar Sejahtera Tanpa Dadah

By 8 Oktober 2020Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Haliza Mohd Taib/Nur Ezzaty Ahmad Razimi (Muar)

MUAR, 8 Okt (Malaysiaaktif) – Perangi dadah yang merupakan musuh utama negara tetap menjadi agenda utama di negeri ini walaupun pada ketika ini negara masih dilanda pandemik COVID-19.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah, pihak kerajaan tidak boleh bertindak bersendirian dalam merealisasikan hasrat untuk membanteras penyalahgunaan dadah.

“Kerjasama, bantuan dan komitmen dari agensi-agensi lain dapat membantu meringankan masalah yang menjadi isu utama negara ini di mana pencegahan yang sebenarnya bermula daripada rumah.

“Peranan dan kasih sayang ibu bapa sangat penting, ibu bapa perlu mengambil tahu dengan siapa anak-anak berkawan, mereka juga harus bijak dalam memberi pendedahan dan penerangan tentang penyalahgunaan dadah ini,” katanya ketika merasmikan Program Sepetang Ketua Pengarah AADK Malaysia bersama Komuniti Maharani, di sini baru-baru ini.

Zulkifli berkata setiap lapisan masyarakat perlu sentiasa berganding bahu bersama-sama pihak kerajaan dalam mengekang gejala penyalahgunaan dadah menerusi kempen dan program pemulihan yang dilaksanakan agensi-agensi yang berkaitan.

Menurut Pegawai Daerah Muar Datuk Haffiz Ahmad, peranan komuniti sangat penting dalam membanteras aktiviti tidak sihat ini.

“Gejala penyalahgunaan dadah ini sememangnya satu isu besar yang perlu ditangani segera.

“Tanggungjawab menangani masalah ini sebenarnya harus dipikul setiap warga di sini dalam menyebarluaskan maklumat yang tepat bagi meningkatkan kesedaran tentang penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

Tambah beliau, semua pemimpin setempat, jabatan, agensi dan pejabat kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan perlu bekerjasama dalam menjayakan hasrat dalam memastikan misi menjadikan “Muar Sejahtera Tanpa Dadah” berjaya dilaksanakan.

“Slogan ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen yang diberikan oleh komuniti dalam bersama-sama membantu pihak kerajaan mengawal serta membanteras masalah penyalahgunaan dadah di sini,” ujarnya.

Seorang peserta yang ditemui, Abd Kahar Mashuri, berkata inisiatif  pihak AADK dalam  menangani gejala najis dadah melalui pemerkasaan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap penagih dan pengedar dadah tanpa istilah ‘pilih kasih’ wajar diberi pujian.

“Mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah turut akan dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang serta tatatertib.

“Segala usaha yang dilakukan mampu mengatasi gejala penyalahgunaan dadah seterusnya menjadikan Malaysia khususnya daerah Muar bebas dadah demi kemakmuran bersama,” katanya.

-NI

Tinggalkan komen anda